PUTRAJAYA - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas pemergian isteri tercinta, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
Ketika menyampaikan titah dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-75 di Kompleks Islam, di sini, baginda selaku pengerusi turut mendoakan agar Dr Mahathir dan ahli keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian ALLAH SWT.
"Semalam negara diselubungi awan duka, kesedihan atas kembalinya ke rahmatullah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
"Semoga roh Allahyarham Tun Dr Hasmah dilimpahi rahmat ihsan Ilahi dan ditempatkan dalam kalangan roh para solehah. Sama-sama kita membacakan al-Fatihah, mohon apa jua ganjaran İlahi daripada bacaan surah tersebut disampaikan kepada rohnya," titah baginda pada Selasa.
Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi, Isnin dan dikebumikan di Pusara Negara Presint 20, Putrajaya.
Bekas Wanita Pertama itu dilahirkan pada 12 Julai 1926 dan berkahwin dengan Dr Mahathir pada 5 Ogos 1956.
Pasangan berkenaan dikurniakan tujuh cahaya mata, tiga perempuan dan empat lelaki.
Allahyarham merupakan antara doktor wanita Melayu terawal di negara ini dan pernah berkhidmat dalam bidang kesihatan awam sebelum memainkan peranan penting menerusi pelbagai kegiatan kemasyarakatan, khususnya berkaitan kesihatan serta kebajikan.
Dr Hasmah menjadi isteri Perdana Menteri ketika Dr Mahathir menerajui negara bagi dua tempoh iaitu dari 1981 hingga 2003 dan 2018 hingga 2020.
Pada Julai lalu, Allahyarham menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100 dan baru-baru ini diiktiraf ASEAN Records sebagai Pasangan kepada Bekas Perdana Menteri Masih Hidup yang Tertua.