SHAH ALAM - “Pedih melihat Tun M menangis. Begitulah kesannya kehilangan, ia datang perlahan-lahan dan tiba-tiba kemudiannya mengalir deras.
Demikian luahan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim mengenang kesedihan dilalui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kehilangan isteri tercinta buat selama-lamanya iaitu Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
Zaid berkata, Allahyarham merupakan simbol kekuatan dan keberanian kepada tokoh negarawan itu sebagaimana Khadijah buat Nabi Muhammad SAW.
"Kasih sayang tetap kekal meskipun nafas terhenti. Kenangan indah akan sentiasa menemanimu hingga ke akhir hayat.
"Kematian menutup sebuah lembaran, tetapi bukan keseluruhan cerita. Cinta mengiringi hingga ke hujung nyawa," katanya menerusi hantaran ringkas di Facebook pada Selasa.
Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi, Isnin dan dikebumikan di Pusara Negara Presint 20, Putrajaya.
Bekas Wanita Pertama itu dilahirkan pada 12 Julai 1926 dan berkahwin dengan Dr Mahathir pada 5 Ogos 1956.
Pasangan berkenaan dikurniakan tujuh cahaya mata, tiga perempuan dan empat lelaki.
Allahyarham merupakan antara doktor wanita Melayu terawal di negara ini dan pernah berkhidmat dalam bidang kesihatan awam sebelum memainkan peranan penting menerusi pelbagai kegiatan kemasyarakatan, khususnya berkaitan kesihatan serta kebajikan.
Dr Hasmah menjadi isteri Perdana Menteri ketika Dr Mahathir menerajui negara bagi dua tempoh iaitu dari 1981 hingga 2003 dan 2018 hingga 2020.
Pada Julai lalu, Allahyarham menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100 dan baru-baru ini diiktiraf ASEAN Records sebagai Pasangan kepada Bekas Perdana Menteri Masih Hidup yang Tertua.