Thailand sekat emas regu sepak takraw negara

Iklan
Skuad regu negara Mohamad Azlan Alias, Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Aidil Aiman Azwawi ketika beraksi menentang wakil Thailand dalam final acara regu lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya di Nagoya City Mizuho Park Gymnasium. - Bernama

HASRAT skuad sepak takraw negara untuk menambah koleksi pingat emas tidak kesampaian selepas tewas 0-2 kepada musuh tradisi, Thailand dalam perlawanan akhir acara regu Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada Selasa.

Kekalahan itu sekali gus memadam impian skuad The Golden Tigers untuk merealisasikan sasaran emas berganda selepas cemerlang memenangi acara berpasukan pada Jumaat lalu.

Iklan
Iklan

Dalam perlawanan akhir berlangung di Nagoya City Mizuho Park Gymnasium itu, skuad negara membariskan trio Mohamad Azlan Alias, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Syahir Mohd Rosdi manakala Thailand mempertaruhkan Kritsanapong Nontakote, Tanaphon Sapyen serta Wuttinu Kamsanor.

Thailand bermula agresif pada set pertama apabila mendahului 10-5 memaksa Ketua Jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun melakukan pertukaran taktik.

Iklan

Beliau memasukkan Muhammad Afifuddin Razali bagi menggantikan Mohamad Azlan pada kedudukan 5-10, sebelum membawa masuk Muhammad Zulkifli Abd Razak menggantikan Syahir pada kedudukan 5-13.

Kebangkitan cuba dilakar Malaysia apabila meraih empat mata berturut-turut namun Thailand kekal tenang untuk menutup set pertama dengan keputusan 15-9.

Iklan

Bagaikan serba tidak menjadi, Thailand terus memanfaatkan kerapuhan permainan Malaysia pada set kedua apabila mendahului 5-0 pada awal saingan.

Malaysia hanya mengutip mata pertama selepas servis Thailand terkandas di jaring.

Tersentak dengan situasi tersebut, Ahmad Jais memasukkan semula Mohamad Azlan serta Syahir dan percaturan itu kembali menghidupkan saingan apabila Malaysia berjaya mengikat kedudukan 5-5.

Bagaimanapun, Thailand kembali menemui rentak untuk menjarakkan kedudukan sebelum memuktamadkan kemenangan 15-8 sekali gus meraih pingat emas.