Bila amukan ragut nyawa si kecil

Iklan

TRAGEDI menimpa Puteri Nur Afiyah Qalesya Mustafa bukan sekadar kisah seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang maut selepas dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya.

Peristiwa menyayat hati itu membuka perbincangan lebih luas tentang keselamatan kanak-kanak, kesihatan mental, sokongan keluarga dan keupayaan masyarakat mengesan krisis sebelum ia bertukar menjadi tragedi.

Iklan
Iklan

Baru-baru ini, Puteri dicampakkan ke sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili, Kota Tinggi oleh suspek berusia 37 tahun. Lelaki itu turut dilaporkan bersenjatakan parang dan mengejar serta mengugut bapa mangsa sebelum ditahan polis.

Lebih memilukan, Puteri dikatakan baru pulang bersama bapanya dari Muar ke kampung untuk mengambil ubat. Malam sebelumnya, tiada sesiapa menyangka kanak-kanak ceria itu sedang melalui detik terakhir kehidupannya.

Iklan

“Papa, cepatlah... marilah solat.” Itulah antara kata-kata terakhir Puteri kepada bapanya menurut nenek mangsa. Keesokan harinya, seorang anak kecil tidak berdosa menjadi korban kepada tindakan sukar diterima akal.

Bagaimanapun, masyarakat perlu berhati-hati dalam mengaitkan tragedi ini secara langsung dengan masalah kesihatan mental. Sehingga penilaian profesional dan siasatan lengkap dijalankan, sebarang kesimpulan awal hanya akan menimbulkan stigma serta salah faham isu kesihatan mental.

Iklan

Hakikatnya, majoriti individu mengalami masalah kesihatan mental tidak bersifat ganas. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menegaskan kebanyakan pesakit mental lebih berisiko menjadi mangsa berbanding pelaku keganasan.

Namun, tragedi seperti ini mengingatkan bahawa kesihatan mental yang tidak ditangani dengan baik boleh membawa implikasi serius kepada individu, keluarga dan komuniti.

Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan 4.6 peratus rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami kemurungan, bersamaan satu juta individu. Angka itu meningkat hampir dua kali ganda berbanding 2019.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan 76,571 panggilan ke Talian HEAL 15555 sehingga akhir 2024, termasuk 367 kes tingkah laku bunuh diri yang memerlukan intervensi khusus.

Statistik ini menunjukkan permintaan terhadap sokongan psikososial semakin tinggi dan tidak boleh dipandang ringan. Namun cabaran utama ialah kesedaran masyarakat yang masih rendah terhadap tanda-tanda awal krisis.

Dalam banyak keluarga, perubahan tingkah laku sering dianggap sekadar masalah sementara atau urusan peribadi. Individu yang semakin mudah marah, mengasingkan diri, mengalami perubahan emosi ketara, membuat ugutan atau menunjukkan perilaku tidak terkawal mungkin sebenarnya sedang memerlukan bantuan.

Ini tidak bermakna setiap individu yang berubah tingkah laku akan bertindak ganas. Namun, mengabaikan tanda amaran boleh menyebabkan peluang mendapatkan bantuan awal terlepas begitu sahaja.

Dalam konteks pencegahan, pengesanan awal sering menjadi faktor yang membezakan antara pemulihan dan tragedi.

Tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan kepada doktor atau pakar kesihatan mental semata-mata. Ahli keluarga, rakan, jiran dan komuniti mempunyai peranan penting mengenal pasti perubahan membimbangkan serta menggalakkan individu mendapatkan bantuan profesional.

Tragedi Puteri Nur Afiyah meninggalkan persoalan sukar dijawab: Adakah masyarakat kita benar-benar peka petanda seseorang sedang berada dalam krisis? Anak kecil tidak sepatutnya menjadi mangsa krisis orang dewasa. Kesedaran, empati dan tindakan awal perlu jadi budaya bersama agar tragedi seumpama ini tidak berulang, malah lebih banyak nyawa dapat diselamatkan.

*Arziana Mohmad Azaman ialah Sub Editor Sinar Harian