Gaji adil: Rumah flat pun kena bayar RM1,000

Iklan
Harga sewa rumah, walaupun di flat semakin meningkat dan di sesetengah kawasan boleh menghampiri RM1,000 sebulan - Gambar hiasan

"KERAJAAN akan mengumumkan langkah lebih tegas bagi memastikan graduan mendapat pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan mereka serta menerima gaji yang adil menerusi Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober."

Bagi Merak Jalanan, pengumuman itu pastinya memberi sedikit sinar harapan kepada rakyat, khususnya anak-anak muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan.

Iklan
Iklan

Bertahun-tahun belajar, berhutang untuk pengajian, akhirnya pekerjaan yang diperoleh pula tidak setimpal dengan kelayakan dan tanggungjawab.

Apatah lagi, baru-baru ini Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan gaji kehidupan wajar RM3,100 sebulan. Bagi sesetengah pihak, angka itu mungkin dianggap tinggi dan membebankan majikan, namun cuba kita lihat realiti kehidupan hari ini.

Iklan

Harga sewa rumah, walaupun di flat semakin meningkat dan di sesetengah kawasan boleh menghampiri RM1,000 sebulan, khususnya di bandar besar seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Itu baru sewa rumah. Belum dikira makan, minum, tambang atau kos ulang-alik ke tempat kerja, bil utiliti dan perbelanjaan lain. Bil elektrik pun boleh cecah ratusan ringgit.

Iklan

Merak Jalanan teringat ketika zaman kecil dahulu. Bil elektrik sekitar RM30 sahaja. Hari ini, kos kehidupan sudah jauh berubah, tetapi persoalannya, adakah gaji yang diberi seiring dengan peningkatan perbelanjaan?

Jadi, apabila kerajaan bercakap soal pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan dan gaji yang adil, Merak Jalanan berharap ia bukan sekadar angka di atas kertas.

Yang rakyat mahukan gaji berbaloi untuk 'hidup' bagi membolehkan mereka bayar sewa, beli makanan, mengurus keluarga dan masih mempunyai sedikit ruang untuk hidup dengan tenang. Itulah erti gaji benar-benar adil.