KUALA LUMPUR - Tokoh perniagaan, Tan Sri Vincent Tan menzahirkan penghormatan kepada Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, yang dikenangnya sebagai insan yang sopan, rendah hati dan penyayang, selain sentiasa membawa diri dengan penuh maruah serta wibawa dan dekat di hati ramai rakyat Malaysia.
Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya itu turut menyampaikan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga, serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar buat negara.
"Saya sentiasa mengagumi dan menghormati Tun Dr Hasmah kerana keperibadian beliau yang begitu terserlah, seorang yang sopan, rendah hati, penyayang dan sentiasa membawa diri dengan penuh maruah serta wibawa,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Vincent menyifatkan Dr Hasmah sebagai isteri dan ibu yang penyayang serta setia mendampingi Dr Mahathir sepanjang tempoh khidmat panjang beliau kepada negara.
"Selama 22 tahun 22 bulan, beliau merupakan ‘Wanita Pertama’ kita. Namun, lebih daripada sekadar gelaran itu, beliau ialah insan yang begitu dekat di hati rakyat biasa melalui kehangatan peribadi dan keprihatinannya yang tulus terhadap orang lain,” katanya.
Vincent berkata, pemergian Allahyarham amat dirasai seluruh negara, dan rakyat Malaysia akan mengenang beliau dengan penuh kasih sayang serta hormat.
"Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat negara. Segala kebaikan dan sumbangan beliau akan terus dikenang dan tidak akan dilupakan,” katanya.
Vincent turut berharap agar Tun Dr Mahathir dan keluarga mendapat ketenangan dalam mengenang kehidupan indah yang mereka lalui bersama Allahyarham.
Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pagi Isnin pada usia 100 tahun.
Allahyarham meninggalkan suami, Dr Mahathir, 101, yang dikahwininya pada 5 Ogos 1956, serta tujuh orang anak. - Bernama