Duta Besar China, Ouyang Yujing tamat khidmat selepas hampir enam tahun di Malaysia

Iklan
Ouyang Yujing (enam dari kiri) bersama tetamu kehormat yang hadir pada majlis berkenaan. Turut berkenan hadir Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Muna Najiah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

KUALA LUMPUR - Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya di negara ini selepas hampir enam tahun, dengan menyifatkan peluang menyumbang kepada hubungan China-Malaysia sebagai satu penghormatan seumur hidup.

Beliau berkata, sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Duta Besar China ke-16 ke Malaysia, dirinya berasa amat berbesar hati dan bertuah kerana dapat menyumbang kepada usaha mempererat kerjasama dua hala dan mendekatkan hubungan rakyat kedua-dua negara.

Iklan
Iklan

"Malam ini merupakan malam perpisahan. Setelah berkhidmat sebagai Duta Besar China ke Malaysia selama lima tahun 10 bulan, saya tidak lama lagi akan menamatkan tempoh perkhidmatan dan pulang ke tanah air.

“Walau ke mana pun masa depan membawa saya, sebahagian daripada hati saya akan sentiasa kekal di Malaysia, dan saya akan selama-lamanya menyokong perkembangan berterusan hubungan China-Malaysia,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Resepsi sempena Ulang Tahun ke-77 Penubuhan Republik Rakyat China serta Majlis Perpisahan bagi Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia di sini.

Ouyang Yujing berkata, hubungan kedua-dua negara semakin erat, manakala hubungan dua hala melalui tiga perkembangan besar.

Iklan

Menurutnya, bermula sebagai Perkongsian Strategik Komprehensif, beralih kepada komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama dan kini meningkat kepada komuniti strategik peringkat tinggi dengan masa depan bersama.

"Paling penting, lawatan negara bersejarah Presiden China, Xi Jinping pada April lalu telah membuka lembaran baharu '50 Tahun Emas' bagi hubungan kita, sekali gus membawa hubungan dua hala ke tahap terbaik dalam sejarah.

"Baru minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan ke China bagi menghadiri upacara pembukaan Pertandingan Kemahiran Dunia dan Ekspo Perdagangan Digital Global.

"Pertemuan beliau dengan Perdana Menteri China, Li Qiang menghasilkan kesepakatan baharu yang penting untuk memperdalam kerjasama saling menguntungkan antara kedua-dua negara," katanya.