SHAH ALAM – Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali bukan sekadar mencurahkan khidmat sebagai doktor, malah turut membantu melatih bidan serta membina kepercayaan antara petugas kesihatan dengan masyarakat luar bandar.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, sebagai doktor wanita Melayu terawal, isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu banyak merintis khidmat kesihatan untuk ibu, anak dan keluarga di luar bandar.
“Beliau memahami bahawa kesukaran mendapatkan rawatan bukan hanya soal kesedaran, malah ada keluarga yang berdepan jarak, ketiadaan pengangkutan dan kekangan wang.
“Pada beliau, khidmat yang berkesan bermula dengan mendengar dan memahami kehidupan orang yang dibantu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ahmad Fahmi berkata, kepedulian Allahyarham kemudiannya turut berkembang kepada bidang pendidikan dan keupayaan ekonomi wanita luar bandar.
“Perjalanan hidup Allahyarham memperlihatkan wibawa seorang wanita Melayu Islam yang memimpin melalui ilmu, ketekunan dan kerja yang nyata.
“Beliau meninggalkan teladan kepada generasi muda bahawa kedudukan memberi ruang untuk berkhidmat, tetapi jasa dibina melalui kehadiran yang berterusan bersama masyarakat,” tambahnya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Allahyarham Dr Hasmah, 100, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi Isnin.
Jenazah dibawa pulang ke kediamannya di The Mines, Seri Kembangan, Selangor pada jam 10.48 pagi sebelum disolatkan di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah.
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi turut berkongsi cara terbaik untuk mengenang Allahyarham adalah dengan meneruskan perhatian kepada golongan yang mudah tercicir termasuk ibu dan anak yang memerlukan penjagaan.
“Termasuk keluarga yang jauh daripada perkhidmatan kesihatan, serta wanita yang memerlukan peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Ahmad Fahmi turut merakamkan takziah kepada Dr Mahathir dan seluruh keluarga atas pemergian Dr Hasmah.
“Semoga ALLAH SWT mengampuni Allahyarham, menerima segala amal baktinya dan mengurniakan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan. Al-Fatihah,” katanya.