Dua lelaki ditahan bawa 690kg ketum dalam kenderaan mewah

Iklan
Pemeriksaan ke atas sebuah Toyota Alphard menemukan 69 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum bernilai kira-kira RM27,600.

TANJUNG MALIM - Cubaan menyeludup daun ketum menggunakan kenderaan mewah terbongkar apabila polis menahan sebuah Toyota Alphard di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Kilometer 371 arah selatan di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, kenderaan terbabit ditahan sepasukan Peronda Lebuhraya (EMPV) Sektor 7 dan Sektor 8, Zon Utara 4, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman untuk pemeriksaan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Khalid Mohamad berkata, hasil pemeriksaan menemui 69 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat 690 kilogram bernilai kira-kira RM27,600.

Menurutnya, dua lelaki tempatan berusia 31 dan 21 tahun yang menaiki kenderaan berkenaan turut ditahan.

Iklan

"Kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar daun ketum untuk kegunaan pasaran tempatan.

"Semakan dilakukan mendapati kedua-duanya mempunyai beberapa rekod kesalahan jenayah termasuk dadah," katanya dalam satu kenyataanpada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, pihak polis telah merampas kenderaan Toyota Alphard bersama satu unit alat kawalan jauh bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Katanya, polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang.

"Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada balai polis berhampiran," katanya.