SHAH ALAM - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation Sdn Bhd yang disiasat berkait penyelewengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah mendapat izin mendakwa CEO terbabit.
"Pertuduhan pada jam 8.30 pagi di Mahkamah Sesyen Jenayah 8 Kuala Lumpur," katanya pada Isnin.
Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman memaklumkan dua bekas pengurusan tertinggi Felda yang disiasat berkait penyelewengan projek KLVC akan didakwa di mahkamah.
Dua individu itu ialah CEO Felda Investment Committee serta bekas pengurus besar Felda.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Penyiasatan khas berskala besar yang dinamakan sebagai OPS FELLA itu memfokuskan kepada transaksi pelaburan serta pengambilalihan aset oleh pihak pengurusan Felda dan FIC dalam tempoh 10 tahun iaitu antara tahun 2010 hingga 2020.