Allahyarham Tun Dr Hasmah ceria sehari sebelum pemergian - Mokhzani Mahathir

Iklan
Mokhzani ketika ditemui pemberita selepas istiadat pengebumian Allahyarham Tun Dr Hasmah di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada Isnin.

PUTRAJAYA – Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali berada dalam keadaan ceria ketika bersama keluarga di Institut Jantung Negara (IJN) sehari sebelum pemergiannya pada Isnin.

Berkongsi perkara itu, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, keluarga terkejut dengan perubahan keadaan ibunya yang berlaku secara mendadak.

Iklan
Iklan

“Kami terkejut pagi tadi kerana semalam keluarga berada bersama Allahyarham di IJN. Beliau begitu ceria dan mesra, tetapi pagi tadi berlaku perubahan besar dan keadaan itu tidak dapat dipulihkan sebelum beliau meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas istiadat pengebumian Allahyarham Tun Dr Hasmah di Pusara Negara, Presint 20, di sini pada Isnin.

Iklan

Mokhzani turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas kawalan serta pihak yang membantu memastikan urusan pengebumian dan ziarah keluarga berjalan tanpa sebarang masalah.

“Alhamdulillah, semuanya... proses pengebumian telah selesai dengan selamat. Saya berterima kasih kepada semua yang dapat hadir ke majlis ini.

Iklan

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua petugas kawalan, tentera, PDRM dan ketua-ketua di sini yang memastikan pengebumian ini berjalan begitu lancar tanpa masalah,” katanya.

Mengenai majlis tahlil, Mokhzani berkata, keluarga merancang mengadakannya di kediaman mereka selepas solat Isyak malam ini.

"Majlis berkenaan juga berkemungkinan diteruskan pada keesokan hari dan hari ketiga," katanya.

Ketika ditanya mengenai kenangan terakhir bersama ibunya, beliau berkata, terlalu banyak kenangan dikongsi bersama keluarga.

“Tiada satu kenangan terakhir, tetapi ada sejuta kenangan. Saya sangat gembira kerana kami mempunyai begitu banyak masa untuk berkongsi bersama beliau.

“Kami mengadakan banyak pertemuan keluarga sejak beberapa bulan, minggu dan hari kebelakangan ini. Jadi, kami mempunyai banyak kenangan,” katanya.

Sementara itu, Mokhzani berkata, bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad berada dalam keadaan baik selepas pemergian tersebut.

“Hari ini merupakan satu hari yang sangat luar biasa, tetapi beliau akan baik-baik sahaja, insya-ALLAH,” katanya.