IPOH - Kerajaan Perak berharap peruntukan bagi menyediakan infrastruktur bagi projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2028 kerajaan Persekutuan bagi membolehkan kerja-kerja pelaksanaannya dimulakan tahun depan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek berkenaan penting bagi memenuhi keperluan air di Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), pembangunan di bahagian utara negeri serta membantu sektor pertanian yang sering berdepan masalah bekalan air ketika musim kemarau.
Menurutnya, projek itu dijangka dapat digunakan sekitar 2030 atau 2031 sekiranya pelaksanaannya berjalan mengikut jadual.
“Pertama sekali, kita dalam fasa untuk merealisasikan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah.
“Kemudiannya, jika ada lebihan air, barulah kita fikir untuk menjual air terawat ke Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Loji Tenaga Boleh Diperbaharui Biogas 2MW, Tapak Pelupusan Sanitari Lahat di sini pada Isnin.
Saarani berkata, selain projek bekalan air, kerajaan negeri turut berharap beberapa keperluan pembangunan sekolah di Perak diberi perhatian dalam Belanjawan 2028.
Katanya, keperluan itu termasuk pembinaan bangunan tambahan di sekolah sedia ada bagi menampung pertambahan murid, khususnya apabila murid berusia enam dan tujuh tahun memasuki Tahun Satu secara serentak tahun depan.
“Yang kedua, bangunan sekolah yang memang telah uzur. Banyak yang telah uzur dan kita diadukan oleh pengetua serta PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru).
“Ketiga ialah sekolah-sekolah baharu di tempat pertumbuhan baharu seperti Proton City, KIGIP dan beberapa kawasan lain yang akan membabitkan pembangunan taman perumahan baharu,” katanya.
Menurutnya, penyediaan sekolah baharu perlu dirancang seiring dengan pembangunan kawasan perumahan bagi memastikan kemudahan pendidikan mencukupi serta mengelakkan sekolah beroperasi dalam dua sesi.
Sementara itu, Saarani berkata, projek pemindahan air berkenaan mempunyai dua komponen utama, iaitu penyediaan infrastruktur asas seperti pam dan terowong air yang perlu dibiayai Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Katanya, komponen berkenaan amat penting kerana ia menjadi infrastruktur asas untuk membawa air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah.
“Infra ini sangat penting. Kita sudah ada laluan dan kita perlu bina bagaimana hendak bawa air itu daripada Sungai Perak. Ia memerlukan pam untuk disedut masuk dan terowong untuk membawa air itu.
“Itu mahal dan ia perlu dimulakan. Itu yang paling penting kepada kami,” katanya.
Saarani berkata, kos bagi infrastruktur asas projek berkenaan dianggarkan antara RM1.4 bilion hingga RM2 bilion tidak termasuk komponen lain.
Jelasnya, sebarang penangguhan projek berkenaan dibimbangi akan menyebabkan kos pembinaan meningkat.
TAMAT