SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa memaklumkan kemajuan penambahbaikan keselamatan asrama dan saluran aduan yang telah diumumkan sebelum ini serta menilai keberkesanannya melalui pengalaman pelajar sendiri.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, audit yang diarahkan KPM mesti membawa kepada pembetulan nyata manakala aduan melibatkan keganasan atau kemungkinan jenayah hendak dirujuk kepada pihak berkuasa mengikut tatacara berkuat kuasa.
Menurutnya, peraturan dan ceramah antibuli sahaja belum memadai untuk membina kepercayaan dalam kalangan pelajar kerana ketiadaan aduan tidak semestinya menunjukkan mereka berada dalam keadaan selamat.
“Keselamatan tidak boleh diukur melalui jumlah laporan semata-mata. Mereka memerlukan pengawasan berkesan, hubungan sihat antara pelajar senior dan junior serta orang dewasa yang boleh dipercayai untuk mendapatkan bantuan ketika berdepan ancaman.
Media melaporkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama pada malam 25 September lalu sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dan disahkan meninggal dunia.
Sehubungan itu, Ahmad Fahmi menegaskan, KPM perlu memastikan setiap penghuni asrama tahu kepada siapa mereka boleh meminta bantuan segera termasuk saluran aduan KPM di luar pengurusan asrama sekiranya mereka tidak berasa selamat untuk membuat aduan di situ.
“Pelajar yang tampil mesti dilindungi daripada ugutan dan tindakan balas. Warden dan pihak sekolah pula perlu peka terhadap tanda awal ancaman tanpa meletakkan seluruh beban untuk bersuara pada bahu pelajar.
“KPM perlu meneroka projek rintis Ruang Selamat Asrama dengan mengambil manfaat daripada pendekatan kerja belia Adab Youth Garage (AYG),” sarannya.
Justeru, beliau memaklumkan bahawa ABIM bersedia berbincang dengan KPM, AYG dan pihak berkaitan bagi merintis pendekatan berkenaan di beberapa asrama yang bersedia.
Menurutnya, melalui pekerja belia terlatih dan pembelajaran tidak formal, pendekatan itu boleh membantu membina hubungan yang dipercayai pelajar, menghubungkan mereka kepada bantuan dan memupuk budaya saling menjaga.
Kata beliau, warden, guru kaunseling dan ibu bapa perlu terlibat dalam membangunkan pendekatan tersebut yang melengkapi tanggungjawab sekolah untuk mengawasi asrama, melindungi murid dan mengendalikan aduan.