Exco Negeri Sembilan terima arahan pulangkan kenderaan rasmi

Iklan
Mohd Asna ketika ditemui pemberita selepas dirakam percakapan oleh pasukan Bukit Aman berhubung kemelut semasa Negeri Sembilan di Menara MAINS pada Isnin. Foto Bernama

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Exco Kerajaan Negeri Sembilan telah menerima arahan untuk memulangkan kenderaan rasmi milik kerajaan negeri, kata Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital, Datuk Mohd Asna Amin.

Beliau berkata telah menerima surat arahan tersebut hari ini daripada Setiausaha Kerajaan Negeri dan mematuhi arahan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kenderaan rasmi, saya tidak gunakan lagi, tetapi memang tadi ada menerima surat...diminta memulangkan kenderaan, jadi kami kena keluarkan semua barang”, katanya kepada pemberita selepas selesai memberikan keterangan kepada pihak polis Bukit Aman di Menara Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), di sini pada Isnin.

Pembatalan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan berkuat kuasa pada 20 September, diwartakan atas perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Asna berkata, beliau dan barisan Exco lain memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam sesi rakaman keterangan, bagi membantu siasatan berhubung kemelut pentadbiran dan institusi diraja di negeri ini.

Beliau berkata, sesi rakaman keterangannya berlangsung lebih 30 minit, manakala Exco lain turut menjalani sesi rakaman percakapan secara berasingan, bermula 11 pagi hingga 2 petang tadi.

Iklan

Selain Mohd Asna, Exco kerajaan negeri lain terdiri daripada Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Mustapha Nagoor, Datuk Zaifulbahri Idris, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Datuk Razali Abu Samah dan Mohd Fairuz Mohd Isa.

Faizal (gambar kiri) dan Mohd Fairuz (gambar kanan) tiba di Menara MAINS untuk dirakam percakapan oleh pasukan Bukit Aman susulan kemelut semasa di negeri itu. Foto Bernama

Sementara itu, Mohd Fairuz merupakan Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, beliau memberi keterangan kira-kira dua jam kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail pada Ahad dilaporkan berkata, polis memanggil bekas Exco Negeri Sembilan, untuk merekodkan keterangan bagi membantu siasatan ekoran kemelut pentadbiran dan institusi diraja itu, susulan beberapa laporan polis yang dibuat berhubung isu berkenaan.

Selain Exco, pihaknya turut akan mengambil keterangan daripada beberapa saksi dan individu lain yang berkaitan, bagi melengkapkan siasatan kes. - Bernama