KUALA LUMPUR - Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali disifatkan sebagai seorang 'Ibu Negara' atau 'Mother of the Nation' yang penuh dengan sifat penyayang, selain rendah hati dan kemesraannya yang meninggalkan kesan mendalam kepada setiap individu yang mengenalinya.
Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Kejururawatan Global Doctors Hospital, Suhaila Mohd Kassim berkata, kehadiran Dr Hasmah sentiasa membawa kegembiran dan semangat kepada petugas setiap kali beliau berkunjung ke hospital berkenaan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
"Sifat rendah hati, kemesraan dan senyuman beliau ialah lambang keanggunan yang sebenar. Beliau merupakan tokoh terkemuka yang mampu mendekati masyarakat dengan erti kemanusiaan yang mendalam," katanya semasa temu bual secara dalam talian menerusi program Bernama World terbitan Bernama TV bertajuk 'Remembering Tun Dr Hasmah' pada Isnin.
Beliau berkata, sebagai seorang daripada doktor wanita Melayu terawal di negara ini, Dr Hasmah membuka laluan kepada golongan profesional wanita moden, khususnya dalam sektor penjagaan kesihatan yang pada ketika itu didominasi lelaki.
Suhaila berkata, sumbangan Dr Hasmah dalam bidang kesihatan awam, kesihatan ibu dan kanak-kanak serta kesihatan mental terus memberikan impak berkekalan terhadap landskap penjagaan kesihatan Malaysia, selain penglibatan aktif beliau dalam pelbagai kegiatan kebajikan.
Beliau turut berkongsi kenangan peribadi tentang ketabahan dan kepimpinan berhemah Dr Hasmah, serta sifat beliau yang mudah didekati dan sentiasa menyapa semua warga hospital tanpa mengira peranan mereka.
"Sama ada sebagai isteri, ibu, atau doktor perubatan, segalanya yang beliau lakukan memberikan impak yang bermakna dan beliau akan sentiasa dikenang sebagai 'Ibu Negara'," katanya.
Dr Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi Isnin pada usia 100 tahun, dengan meninggalkan tujuh orang anak. - Bernama