MUAR – Polis membuka kertas siasatan berhubung video tular yang memaparkan dua kenderaan dipandu secara berbahaya di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 5.48 pagi pada 27 September lalu di Kilometer 135 lebuh raya berkenaan.
Menurut beliau, video berdurasi kira-kira tiga minit yang tular di Facebook itu memaparkan dua kenderaan dipercayai saling memotong dan dipandu secara berbahaya.
“Selain itu, kedua-dua kenderaan berkenaan turut menggunakan lampu jenis strobe flash light yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Susulan pengesanan video tersebut, satu laporan maklumat pertama polis (FIR) telah dibuat di Balai Polis Trafik Muar,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Raiz Mukhliz berkata, hasil siasatan awal mendapati salah sebuah kenderaan yang terlibat telah dikenal pasti, manakala sebuah lagi masih dalam proses dikesan.
“Polis Daerah Muar sedang giat mengesan pemilik dan pemandu kedua-dua kenderaan terbabit bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.
“Polis Daerah Muar memandang serius sebarang perbuatan memandu secara melulu, berbahaya atau yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.