PUTRAJAYA – Sifat peramah dan penyayang yang dimiliki Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali antara kenangan paling melekat dalam ingatan peguam, Haniff Khatri Abdulla.
Haniff berkata, beliau berpeluang berurusan dengan Tun Dr Hasmah dalam beberapa urusan profesional dan melihat sendiri bagaimana Allahyarham melayani setiap individu yang ditemuinya.
“Kalau kami pergi pejabat untuk apa-apa urusan pun, urusan kita profesional dengan Tun dan sebagainya. Tapi tengok dia, dia akan layan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Presint 20, pada Isnin.
Menurutnya, Dr Hasmah juga seorang yang mudah bergurau dan sentiasa menunjukkan sifat mesra ketika bertemu.
“Beliau memang sifat penyayang dia cukup-cukup besar. Saya rasa semua orang pernah nampak, bukan sahaja di pejabat itu, di rumah itu, di luar pun kalau ada apa-apa majlis,” katanya.
Haniff berkata, satu lagi perkara yang sering diperhatikannya ialah Tun Dr Hasmah tidak pernah cuba menonjolkan dirinya, sebaliknya sentiasa berada di sisi suaminya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya rasa itu yang paling lekat dalam mata rakyat Malaysia yang mengenali betul, termasuklah banyak yang pernah berurusan dengan beliau,” katanya.
Dalam pada itu, Haniff turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang yang soleh serta di syurga.
Beliau pada masa sama berharap seluruh rakyat Malaysia dapat bersama-sama mendoakan ketabahan buat Dr Mahathir dan keluarga yang kehilangan insan tersayang.
“Tun kehilangan isteri, keluarga dan anaknya kehilangan ibu, tapi negara Malaysia kehilangan negarawan, Dr Hasmah,” katanya.
Tun Dr Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi Isnin pada usia 100 tahun.
Kerajaan sebelum ini memutuskan Allahyarham diberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara, dengan jenazah disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.