PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyifatkan Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali sebagai sebagai seorang yang tenang dan merendah diri.
Menurut Hannah, beliau sedih di atas pemergian tokoh perubatan dan kesihatan yang telah banyak menabur bakti kepada rakyat serta negara sepanjang hayatnya.
"Beliau sangat merendah diri dan tenang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Walaupun kali kedua Dr Mahathir kembali ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri dalam usia agak berusia, tapi Dr Hasmah tetap memberi sokongan dan hadir bersama sepanjang masa," katanya ketika ditemui pemberita di Pusara Negara, Presint 20 di sini pada Isnin.
Hannah hadir bagi memberi penghormatan terakhirnya kepada Allahyarham Dr Hasmah.
Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi.
Dalam pada itu, Hannah turut menyifatkan Dr Hasmah sebagai individu yang mementingkan pendidikan.
"Saya sedih melihat gambar dan video Dr Mahathir. Saya agak risau bila tengok beliau (Dr Mahathir) yang pasti akan merindui Dr Hasmah kerana lama menjalani kehidupan dengan Allahyarham.
"Dr Hasmah mementingkan pendidikan, oleh sebab itu beliau sebagai Dr menjadi satu contoh sangat bagus kepada golongan wanita untuk miliki pendidikan kerana itu platform yang luas untuk berjasa dan bantu orang," ujarnya.