Jokowi sahkan anggotai Parti Solidariti Indonesia

Iklan
Jokowi (tengah) bangga menunjukkan kad keahlian beliau kepada umum. - Foto Agensi

JAKARTA - Presiden Ketujuh Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi mengumumkan beliau kini menjadi anggota Parti Solidariti Indonesia (PSI).

Beliau turut menunjukkan kad keahlian PSI (KTA) miliknya ketika menghadiri mesyuarat penyelarasan DPD PSI Kota Bandung di Hotel Grand Pasundan pada Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

"Saya sudah menjadi sebahagian daripada keluarga PSI secara rasmi pada 14 Oktober 2025. Sudah hampir setahun lalu. Ramai yang tidak percaya, jadi biar saya tunjukkan kad keahlian saya,” katanya.

Jokowi turut membaca nama penuh dan nombor keahliannya yang tertera pada kad berkenaan.

Iklan

“Nama tertera ialah Jokowi Widodo. Nombor keahlian saya ialah S 337220257777777,” ujarnya sambil sambil berseloroh mengenai banyaknya angka tujuh yang terdapat dalam nombor tersebut.

Jokowi berkata PSI kini mula diberi perhatian malah digeruni oleh pihak lawan. Beliau menegaskan status PSI sebagai parti baharu tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kemunculannya dalam arena politik nasional.

Iklan

Sejak tahun lalu, PSI telah memberi bayangan bahawa parti itu bakal mempunyai seorang tokoh digelar 'J' yang akan menjawat jawatan Ketua Lembaga Pembina.

Penganalisis komunikasi politik di Indonesia, M Jamiluddin Ritonga pada Isnin pula menyifatkan pengumuman Jokowi sebagai anggota rasmi PSI bukan sesuatu yang mengejutkan.

Menurutnya, hubungan rapat Jokowi dengan parti yang menggunakan simbol gajah itu sudah lama diketahui umum.

Jamiluddin berpendapat pengumuman rasmi itu mampu memperkukuh usaha dalaman PSI menjelang Pemilihan Umum (Pemilu) 2029.

Sebelum menyertai PSI, Jokowi merupakan anggota Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dan pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Solo serta Gabenor Jakarta sebelum menjadi Presiden Indonesia selama dua penggal dari 2014 hingga 2024.

Hubungan Jokowi dengan PDI-P mula renggang menjelang Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 selepas parti itu tidak menyokong anak sulungnya, Gibran Rakabuming Raka sebagai calon Wakil Presiden (Wapres).

Jokowi tidak pernah mengumumkan secara rasmi tarikh beliau meninggalkan PDI-P. Pada Disember 2024, PDI-P mengesahkan Jokowi dan keluarganya tidak lagi menjadi anggota parti tersebut. - Agensi