SERI KEMBANGAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali.
Keberangkatan tiba baginda berdua pada 2.10 petang diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Dr Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi Isnin, pada usia 100 tahun. Beliau meninggalkan tujuh orang anak.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan isteri, Datin Seri Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin; serta Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Mereka yang lain termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin; Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa; artis Datuk DJ Dave, Tan Sri Rais Yatim dan ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan.
Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas itu menyifatkan pemergian Dr Hasmah sebagai satu kehilangan besar buat negara, khususnya kepada golongan wanita dan ahli Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).
Ahmad Zahid berkata, beliau bersama-sama isteri Datin Seri Hamidah Khamis sempat menziarahi Allahyarham di kediamannya Isnin lepas.
Beliau berkata, pertemuan itu turut menjadi ruang buat isteri beliau bersama-sama Allahyarham, yang juga anggota Bakti, mengenang kembali pelbagai kisah dan pengalaman lama.
"Yang diceritakan oleh isteri saya, beliau (Dr Hasmah) banyak bercerita mengenai alam baqa, Padang Mahsyar seolah-olah mengetahui akan pergi buat selama-lamanya.
"Tentu kami merasakan kehilangan yang teramat, kerana Allahyarham telah banyak menabur jasa, terutama dalam kalangan wanita dan ahli-ahli Bakti," katanya.
Dr Hasmah akan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara dan dikebumikan di Pusara Negara Presint 20 di Putrajaya. - Bernama