KUALA LUMPUR - Semua stesen televisyen dan radio tempatan dimohon supaya menyederhanakan serta menyesuaikan pengisian program siaran masing-masing sebagai tanda penghormatan terakhir atas pemergian Tun Dr Hasmah Mohd Ali hari ini.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil turut mengucapkan takziah atas pemergian isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
"Bagi pihak kerajaan, saya menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Dr Hasmah, dan juga khusus buat Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad sekeluarga.
"Ini adalah satu momen yang amat mendukakan. Allahyarham banyak berjasa pada negara, sering dilihat sebagai seorang individu yang dekat dengan rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian BeONE Mobile, pengendali mudah alih tempatan, di sini hari ini.
Dr Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini.
Berita pemergian Allahyarham disahkan anaknya Tan Sri Mokhzani Mahathir ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak. - Bernama
-