Zakat TNB buka ruang, bina harapan

Iklan
Shamshul Khomar Ismail bersama keluarga kini menikmati kediaman yang lebih selesa dan kondusif selepas menerima rumah baharu mereka pada 15 September 2026 di bawah Projek Baiti Jannati.

Shamshul Khomar Ismail bersama keluarga kini menikmati kediaman yang lebih selesa dan kondusif selepas menerima rumah baharu mereka pada 15 September 2026 di bawah Projek Baiti Jannati.

Agihan zakat bukan sekadar meringankan beban, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pendidikan, kehidupan lebih selesa dan peluang ekonomi untuk lebih 18,000 keluarga asnaf di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Apabila hujan turun, sebuah rumah yang tidak lagi mampu menahan kebocoran bukan sekadar menjejaskan keselesaan seisi keluarga, malah boleh mengganggu rutin harian termasuk ruang anak-anak untuk belajar.

Di sebalik perubahan seperti itu, terdapat usaha berterusan melalui agihan zakat yang bukan sekadar bertujuan meringankan beban, tetapi membuka jalan kepada penerima untuk membina kehidupan yang lebih baik.

Iklan

Pendekatan sedemikian dapat dilihat menerusi komitmen Tenaga Nasional Berhad (TNB) menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM 36.5 juta bagi tahun ini.

Lebih daripada sekadar angka, agihan itu memberi manfaat kepada lebih 18,000 keluarga asnaf di seluruh Malaysia melalui kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri.

Iklan

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul bin Ahmad, bersama Pengurusan Tertinggi TNB menyerahkan kunci rumah baharu kepada Halijah Yusoff menerusi Projek Baiti Jannati (PBJ) Kedah 2026.

Daripada meringankan beban kepada membuka peluang

Hakikatnya, nilai zakat bukan hanya dapat dilihat pada jumlah yang disalurkan, tetapi pada perubahan yang berlaku selepas penerima mendapat sokongan.

Melalui program seperti Baiti Jannati, misalnya, keperluan sebuah kediaman yang lebih selesa boleh memberi kesan kepada kesejahteraan sesebuah keluarga.

Rumah yang lebih baik bukan semata-mata soal tempat berteduh, sebaliknya menyediakan ruang yang lebih sesuai untuk anak-anak belajar, keluarga menjalani kehidupan harian dan membina keyakinan untuk melangkah ke hadapan.

Kongsi kembali kepada masyarakat

Hasil pembayaran Zakat Perniagaan, TNB mengagihkan wakalah Zakat sebanyak 70 peratus diperuntukkan kepada golongan Fakir Miskin, manakala 30 peratus kepada golongan Fisabilillah. Agihan turut dilaksanakan melalui kerjasama TNB bersama Majlis Agama Islam Negeri bagi memastikan manfaat sampai kepada golongan yang layak.

Nilai zakat itu dapat dilihat bukan hanya melalui jumlah ringgit yang diagihkan, tetapi melalui peluang yang tercipta untuk keluarga terbabit.

Zakat sebagai pelaburan modal insan

Apabila seorang anak mendapat peluang untuk terus belajar, sebuah keluarga mempunyai kediaman yang lebih selesa atau seorang usahawan kecil memperoleh modal untuk mengembangkan perniagaan, kesannya boleh berlanjutan jauh melebihi tempoh bantuan diterima.

Inilah yang menjadikan zakat satu bentuk pelaburan modal insan.

Pelaburan itu tidak diukur semata-mata dalam bentuk pulangan kewangan, sebaliknya melalui peningkatan kualiti hidup, pendidikan, kemahiran dan keupayaan seseorang untuk berdikari.

Lebih penting, apabila penerima berjaya memperbaiki kehidupannya, manfaat tersebut berpotensi berkembang kepada keluarga dan masyarakat sekeliling.

Seorang anak yang mendapat pendidikan lebih baik mempunyai peluang untuk membina masa depan sendiri.

Seorang usahawan yang berjaya mengembangkan perniagaan pula berpotensi membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.

Daripada satu bentuk sokongan, lahir peluang baharu dan seterusnya membentuk kitaran kebaikan dalam masyarakat.

Ekosistem zakat yang saling melengkapi

Usaha memperkasa golongan asnaf juga tidak berlaku secara bersendirian.

Kerjasama antara syarikat seperti TNB dengan Majlis Agama Islam Negeri memainkan peranan penting dalam memastikan agihan zakat dilaksanakan berdasarkan mekanisme dan saluran yang ditetapkan.

Dalam konteks ini, TNB berperanan sebagai rakan strategik dalam ekosistem zakat, manakala institusi agama negeri mempunyai peranan dalam aspek pengurusan serta pengesahan kelayakan penerima.

Kerjasama sedemikian penting bagi memastikan amanah zakat disampaikan secara teratur, telus dan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.

Ia juga memperlihatkan bagaimana tanggungjawab sosial korporat (CSR) boleh bergerak seiring dengan pembangunan masyarakat apabila kemakmuran perniagaan dikongsi semula kepada rakyat.

Bila penerima tidak lagi sekadar menerima

Ukuran kejayaan sesuatu agihan zakat bukan semata-mata pada berapa banyak yang disalurkan, tetapi sejauh mana ia membantu seseorang bergerak ke tahap kehidupan yang lebih baik.

Sebab itu pendekatan zakat yang berimpak perlu dilihat sebagai usaha membuka pintu potensi.

Penerima bukan dilihat sebagai individu yang perlu bergantung selama-lamanya kepada bantuan, sebaliknya sebagai insan yang mempunyai keupayaan untuk berkembang apabila diberikan peluang, sokongan dan ruang yang sesuai.

Akhirnya, kejayaan paling bermakna ialah apabila seseorang yang pernah menerima sokongan mampu berdiri dengan lebih yakin, membina kehidupan sendiri dan suatu hari nanti pula mempunyai kemampuan untuk menyumbang kepada orang lain.

Dalam semangat Malaysia MADANI, nilai ihsan tidak seharusnya berhenti pada niat, sebaliknya diterjemahkan kepada peluang yang mampu mengubah kehidupan.

Dan apabila sebuah kejayaan dikongsi, manfaatnya bukan lagi milik satu pihak sahaja - ia menjadi sebahagian daripada kemajuan bersama.

Mangsa kebakaran gembira bakal terima rumah baharu

BAGAN SERAI, PERAK: Bakal menerima rumah baharu yang lebih selesa nyata melegakan buat seorang ketua keluarga selepas ditimpa musibah kebakaran memusnahkan keseluruhan kediaman didiami sejak 22 tahun lalu.

Zainuddin Hashim, 53, meluahkan rasa syukur apabila terpilih sebagai penerima Program Baiti Jannati TNB.

Menurutnya, rumah baharu itu akan dibina di tapak kediaman lamanya yang musnah dalam kebakaran pada Januari lalu.

Beliau berkata, pembinaan rumah tersebut dijangka bermula minggu depan selepas kontraktor yang dilantik TNB datang ke lokasi untuk memulakan kerja.

“Saya memang tengah menanti. Kontraktor kata minggu depan nak mula buat. Rumah itu akan dibina di tapak sama, cuma dianjakkan sedikit ke belakang.

“Saya sangat bersyukur kerana kos membina sebuah rumah sekarang memang tinggi. Kalau nak dikumpulkan duit memang lambat nak dapat rumah baharu,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainuddin yang mempunyai enam anak, tiga daripadanya masih bersekolah, berkata dia kini meneruskan perniagaan sate di pasar malam dan Gerbang Malam bagi menyara keluarga.

'Tak sabar nak tunggu rumah siap'

SABAK BERNAM, SELANGOR:"Kalau boleh, saya mahu rumah ini siap cepat, tak sabar rasanya nak balik duduk di tanah sendiri".

Itu luahan seorang balu, Rumaizah Abdul Manaf, 52, yang kini menanti rumah baharunya siap dibina menerusi inisiatif Baiti Jannati TNB selepas kediaman pusaka keluarganya musnah dalam kebakaran tahun lalu.

Menurut Rumaizah, rumah baharu yang dibina di tapak kediaman lamanya di Kampung Bagan Nira, di sini, kini masih dalam pembinaan dan berharap dapat berpindah sebaik sahaja ia siap.

"Harapan saya cuma mahu rumah yang selesa untuk tinggal bersama mak dan pak cik," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, api dipercayai bermula dari sebuah bilik sebelum merebak menyebabkan kira-kira 80 peratus rumah dua tingkat itu musnah, manakala hampir keseluruhan harta benda tidak dapat diselamatkan.

Penerima bantuan Rumah Baiti Jannati TNB, Rumaizah Abdul Manaf dari Kampung Bagan Nira, Sabak Bernam, Selangor menunjukkan rumah baharu yang dalam pembinaan di tapak kediaman lamanya.

Baiti Jannati TNB beri sinar buat keluarga mangsa strok

LANGKAWI, KEDAH: Lebih dua tahun tinggal dalam sebuah rumah yang dibina secara sementara dalam bentuk kabin yang serba kekurangan, sebuah keluarga di Kampung Mawat, Mukim Ulu Melaka di sini akhirnya bakal menikmati kediaman lebih selesa menerusi program Baiti Jannati TNB.

Bagi keluarga berkenaan, bantuan itu cukup bermakna selepas ketua keluarga, Mohd Faizal Abdul Aziz, 44, yang sebelum ini bekerja pemandu lori di Pulau Pinang diuji dengan masalah kesihatan apabila diserang strok sehingga dia tidak lagi mampu bekerja seperti biasa.

Isterinya, Alia Affila Azizan, 31, kemudian mengambil alih tanggungjawab mencari rezeki sebagai pemandu lori sejak enam bulan lalu bagi menyara keluarga termasuk anak mereka, Nurf arwizah Aliyah, 9, yang masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Melaka.

Menurutnya, mereka sekeluarga bersyukur apabila dimaklumkan bakal menerima bantuan pembinaan rumah baharu tiga bilik serta dua bilik air menerusi Program Baiti Jannati TNB.

“Kami bersyukur sangat, Alhamdulillah, ini rezeki daripada Allah SWT. Terima kasih banyak kepada semua yang membantu.

“Kami sendiri tidak terfikir akan dapat bantuan ini. Kami ada memohon, tetapi tidak terlalu berharap. Rupanya ini rezeki kami,” katanya Alia Affila.

Cerita Alia Affila, sejak tinggal di dalam rumah berbentuk kabin sementara itu, jika mahu menggunakan kemudahan seperti tandas, mereka sekeluarga akan pergi ke rumah ibunya yang terletak bersebelahan.

Alia Affila kini mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga selepas Mohd Faizal tidak mampu bekerja akibat diserang strok sebanyak dua kali.

'Saya rasa macam mimpi ada rumah sendiri'

SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN: “Sampai sekarang rasa macam mimpi, tak sangka boleh ada rumah sendiri.”

Demikian luahan Nor Iza Rusli, 36, yang merupakan penerima bantuan membina rumah menerusi program Baiti Jannati oleh TNB.

Dia yang kini menyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lobak di sini berkata, tanpa bantuan tersebut, mana mungkin dia mampu memiliki rumah sendiri.

“Saya dapat tahu mengenai bantuan membina rumah ini daripada kawan saya yang pernah menerima bantuan sama.

“Jadi pada tahun 2022, saya cuba nasib dengan menghantar surat permohonan kepada TNB dan pada tahun lalu, saya dimaklumkan bahawa permohonan telah diluluskan,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami kini dalam proses membuat persiapan untuk berpindah ke rumah tersebut.

Nur Iza turut menyifatkan rumah berkenaan sebagai hadiah buat anak bongsunya yang kini berusia setahun sembilan bulan.

"Terima kasih TNB kerana membantu merealisasikan impian saya dan suami miliki rumah sendiri, ia sangat bermakna buat kami,"katanya yang merupakan golongan asnaf.

Bantuan rumah beri makna besar

KUALA PILAH, NEGERI SEMBILAN: Selepas sekian lama terpaksa tidur di rumah tamu rumah pusaka keluarga, Nooryati Razak sekeluarga akhirnya dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa selepas menerima bantuan membina rumah menerusi program Baiti Jannati oleh TNB.

Menurut wanita berusia 55 tahun itu, sebelum ini dia bersama suami dan anak perempuannya tinggal di rumah tersebut bersama adiknya yang juga telah berkeluarga.

"Jadi ada dua keluarga tinggal di rumah itu. Keadaannya kurang selesa buat kami kerana bilik pun tak cukup dan penuh dengan barang.

“Bilik itu kebiasaannya digunakan untuk menukar pakaian saja dan kami terpaksa tidur di ruang tamu,"katanya.

Ujarnya, bantuan rumah berkenaan memberi makna besar kepadanya sekeluarga kerana akhirnya mereka dapat memiliki kediaman sendiri.