Jenazah Tun Dr Hasmah akan dikebumikan di Pusara Negara

Iklan
Jenazah Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali akan dikebumikan di Pusara Negara, Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Jenazah Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali akan dikebumikan di Pusara Negara, Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya pada Isnin.

Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan pada Isnin memaklumkan, istiadat pengebumian jenazah akan disempurnakan selepas selesai urusan pengurusan, penghormatan terakhir dan solat jenazah di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan, Selangor.

Iklan
Iklan

Jenazah akan dibawa menggunakan kenderaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) jam 4.30 petang bagi tujuan tersebut.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali.

Iklan

Allahyarham Tun Dr Hasmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia pada jam 9.20 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Klang, Selangor, Dr Hasmah merupakan antara doktor wanita Melayu terawal di Malaysia dan kemudiannya membina kerjaya panjang dalam bidang perubatan, kesihatan awam serta kerja kemasyarakatan.

Iklan

Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura dan menamatkan pengajian pada 1955.

Selepas menyertai Kementerian Kesihatan, beliau berkhidmat sebagai pegawai perubatan di beberapa kawasan di seluruh negara, termasuk Kedah, dengan sebahagian besar tugasnya tertumpu kepada kesihatan awam serta penjagaan kesihatan ibu dan kanak-kanak.

Dr Hasmah berkahwin dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1956.

Pasangan itu dikurniakan empat anak kandung, Marina, Tan Sri Mirzan, Tan Sri Mokhzani dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz, selain mempunyai tiga anak angkat iaitu Melinda, Mazhar dan Maizura.

Dr Hasmah yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada 12 Julai lalu, merupakan antara tokoh perubatan wanita terawal negara dan banyak menyumbang dalam bidang kesihatan awam, khususnya kesihatan ibu dan kanak-kanak.