IPOH - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkukuh usaha menangani pelajar yang terkesan dengan kes buli bagi mencegah risiko lebih buruk termasuk bunuh diri.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama antara kedua-dua kementerian itu meliputi pelbagai aspek termasuk kesedaran, literasi kesihatan mental, pengesanan awal, rujukan serta intervensi terhadap pelajar yang terkesan.
Menurutnya, KKM turut memperkukuh perkhidmatan kaunseling di sekolah termasuk aspek saringan dan pengesanan awal perubahan tingkah laku atau simptom yang memerlukan perhatian.
“Kita juga melaksanakan pelbagai aktiviti kesedaran dan literasi berkaitan perkara ini,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Utama Kolej Poly-Tech Mara Ipoh di sini pada Isnin.
Dzulkefly berkata, usaha itu turut diperkukuh melalui dasar berkaitan antibuli selain Program Kesihatan Sekolah yang memberi penekanan kepada peningkatan kecelikan kesihatan mental dan daya tindak dalam kalangan pelajar.
Katanya, persekitaran sekolah yang inklusif dan positif perlu diwujudkan sebagai langkah proaktif dan preventif, selain tidak hanya bertindak selepas sesuatu insiden berlaku.
“Bagi individu, sekolah atau komuniti yang terkesan, kita datangkan Pasukan Bantuan Khusus atau MHPSS (Modul Latihan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial Semasa Krisis dan Bencana) untuk membuat intervensi serta program jangkauan,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, Talian HEAL 15555 memainkan peranan penting dalam membantu individu yang berdepan krisis kesihatan mental termasuk pemikiran dan cubaan membunuh diri.
Katanya, sebanyak 267,873 panggilan diterima menerusi talian berkenaan sepanjang lebih empat tahun sehingga 19 September lalu, dengan 220,856 klien menerima sokongan emosi manakala 47,014 lagi menerima intervensi khusus.
“Sebanyak 518 kes krisis tingkah laku bunuh diri termasuk idea bunuh diri dan cubaan bunuh diri telah dikendalikan Talian HEAL.
“Daripada jumlah itu, 347 kes idea bunuh diri diberikan intervensi secara langsung, manakala 171 kes cubaan bunuh diri dirujuk dengan mengaktifkan MERS 999 melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jabatan kecemasan,” katanya.
Dzulkefly berkata peningkatan jumlah panggilan Talian HEAL setiap tahun perlu dilihat daripada sudut cabaran kesihatan mental, namun pada masa sama ia menunjukkan semakin ramai masyarakat bersedia mendapatkan bantuan.
“Pada 2023, jumlah panggilan diterima sebanyak 27,738, meningkat kepada 42,990 pada 2024 dan hampir dua kali ganda pada 2025 dengan 90,981 panggilan.
“Ini menunjukkan rakyat semakin celik, semakin mahu mencari bantuan, intervensi serta sokongan psikologi dan pasukan kesihatan mental,” katanya.
TAMAT