CHANGLUN – Niat murni seorang lelaki memberi makanan kepada seekor anjing terbiar yang dipercayai kelaparan, bertukar tragedi apabila dia digigit haiwan berkenaan sebelum meninggal dunia akibat rabies pada Ahad.
Dalam kejadian pada Ogos lalu, Nik Muhamad Adha Nik Zulkifli, 31, dikatakan berada di Pasar Tani Kekal Changlun sini untuk menghantar barang kepada isterinya yang berniaga di situ.
Peniaga di pasar tani berkenaan, Jamaliah Abdullah, 65, berkata, ketika kejadian cuaca hujan renyai dan seekor anjing terbiar tiba-tiba memasuki kawasan tersebut.
Menurutnya, anjing itu dipercayai dihalau peniaga sebelum melarikan diri ke kawasan berdekatan.
“Arwah ketika itu hendak kembali ke tempat kerja, namun dia memang seorang yang sayang haiwan. Mungkin kerana kasihan melihat anjing itu, dia membeli roti dan memberikannya kepada haiwan berkenaan.
Jamaliah berkata, dia kemudian menasihati mangsa supaya segera mendapatkan rawatan di klinik selepas melihat kecederaan pada tangannya.
Menurutnya, mangsa kemudiannya mahu mendapatkan rawatan selepas berasa tidak selesa.
“Saya tidak sangka akhirnya dia meninggal dunia. Saya sangat sedih kerana arwah seorang yang baik dan memang sayang kepada haiwan,” katanya.
Jenazah Allahyarham Nik Muhamad Adha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Setol di sini pada malam Ahad.
Sementara itu, peniaga yang sudah 40 tahun berniaga di pasar tani berkenaan, Halim Saidin, 77, berkata, dia terkejut dengan kejadian itu kerana tidak pernah melihat anjing berkeliaran di kawasan tersebut sebelum ini.
“Selama 40 tahun berniaga di sini, saya tidak pernah nampak anjing berkeliaran di kawasan ini. Malah pada waktu malam pun tiada.
“Sebab itu saya terkejut apabila mengetahui kejadian ini berlaku. Kami tidak tahu dari mana anjing itu datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengurus Pasar Tani Kekal Changlun, Azize Yusoff berkata, kejadian gigitan berkenaan berlaku kira-kira 60 meter dari kawasan pasar tani.
Katanya, mangsa bukan peniaga di pasar berkenaan sebaliknya datang untuk menghantar barang kepada isterinya yang berniaga di situ.
“Arwah bekerja di tempat lain, manakala isterinya berniaga di sini. Pada hari kejadian, dia datang menghantar barang kepada isterinya,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah memaklumkan lelaki berusia 31 tahun itu meninggal dunia akibat rabies selepas mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lalu.
Menurut JKN Kedah, mangsa mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan selepas kejadian namun tidak menerima profilaksis pascapendedahan atau post-exposure prophylaxis (PEP) rabies.
Kes berkenaan merupakan kes pertama rabies dalam kalangan manusia yang dilaporkan di Kedah sejak 1998.