KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur meneruskan penugasan kawalan keselamatan 24 jam di kediaman Datuk Seri Najib Razak di Langgak Duta, di sini berhubung pelaksanaan tahanan rumah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kawalan berkenaan disediakan sejak pemakluman mengenai tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.
“Seperti sebelum ini, kawalan keselamatan diberikan dan kita sudah menyediakan kawalan sejak awal apabila pemakluman ini keluar.
“Ia masih berterusan sehingga hari ini, 24 jam dan kita akan menunggu arahan lanjut berhubung penahanan ini. Setakat ini, kawalan di kediaman masih berterusan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas Kuala Lumpur, Ketua Polis Daerah Dang Wangi.
18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi menjalani baki hukuman kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Najib bagaimanapun masih berada di Penjara Kajang sementara syarat pembayaran denda berkenaan belum dipenuhi.
Terbaharu pada Ahad, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kutipan dana bagi membantu Najib melunaskan denda RM50 juta yang menjadi syarat untuk beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah kini sudah mencecah RM9.25 juta.
Sementara itu, mengulas mengenai Majlis Serah Terima Tugas itu, Fadil memaklumkan, Senior Asisten Komisioner Shaidatul Akmar Mohd Noor dilantik Ketua Cawangan Khas Polis Kuala Lumpur, manakala Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin dilantik Ketua Polis Daerah Dang Wangi.
"Cawangan Khas mempunyai peranan yang amat penting dalam memastikan keselamatan dan kestabilan ibu negara terus terpelihara.
"Dalam landskap keselamatan yang semakin dinamik, keupayaan risikan, ketepatan analisis, kecepatan bertindak serta keberkesanan penyampaian maklumat perlu terus diperkukuhkan.
"Selain itu, Dang Wangi ialah tempat ikonik yang merupakan salah satu kawasan yang mempunyai cabaran dan keperluan tersendiri.
"Justeru, kepimpinan yang kukuh, tindakan yang pantas serta kerjasama seluruh warga amat penting bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus berada pada tahap yang terbaik," katanya.