Guru wanita didakwa amang seksual pelajar lelaki

Iklan
Tertuduh (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun.

IPOH - Seorang guru agama wanita di sebuah sekolah menengah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun.

Tertuduh berusia 48 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, ibu kepada enam anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam sebuah bilik di sebuah sekolah menengah dalam daerah Kinta antara November hingga Disember 2024.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin memohon agar mahkamah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili Peguam Amira Sofea An-Nur Ahmad Basri memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai enam anak berusia antara lapan hingga 22 tahun merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga.

Iklan

Mahkamah diberitahu, anak tertuduh masih bersekolah sementara suami tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.