KAMPAR - Seorang wanita ditahan polis selepas dipercayai menikam ibunya sehingga maut dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Wang, Menglembu dekat sini pada Ahad.
Dalam kejadian sekitar jam 7 malam itu, mangsa berusia 70 tahun ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian dengan kesan tikaman di dada.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, laporan kes itu diterima daripada menantu mangsa sebelum tangkapan terhadap suspek berusia 49 tahun dibuat tidak lama selepas kejadian.
Menurutnya, mangsa yang berada dalam keadaan terlantar difahamkan baru sahaja diambil pulang dari sebuah pusat jagaan warga emas di Pusing untuk dijaga di rumah.
"Pihak polis dimaklumkan ketika kejadian hanya suspek dan mangsa berada dalam rumah sebelum wanita itu ditemui dengan kesan tikaman di bahagian dada.
Beliau berkata, siasatan awal dijalankan polis mendapati, suspek mempunyai rekod psikiatri.
Katanya, polis akan mendapatkan laporan lanjut daripada pihak hospital berhubung keadaan kesihatan mental suspek bagi membantu siasatan.
"Suspek telah direman sehingga 4 Oktober ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Alwi berkata, anak lelaki kepada wanita orang kurang upaya (OKU) yang mati dibunuh di rumahnya di Kampung Cheh Hilir, Kati pada 23 September lalu telah dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, remaja berusia 15 tahun itu sebelum ini direman bersama bapanya berusia 44 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.
"Suami mangsa masih lagi dalam tempoh reman untuk siasatan. Hanya remaja berkenaan dihantar ke hospital di Ulu Kinta," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita OKU, Nor Ainon Omar, 49, ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di kediaman tersebut yang didiaminya bersama suami dan tiga anak.