Agong, Raja Permaisuri zahir takziah atas pemergian Tun Dr Hasmah

Iklan
Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali. Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.

Menerusi hantaran di laman sosial Sultan Ibrahim, Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar Allahyarhamah dicucuri rahmat ALLAH SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

Iklan
Iklan

Allahyarhamah Dr Hasmah dilaporkan meninggal dunia pada jam 9.20 di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pagi Isnin.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Klang, Selangor, Dr Hasmah merupakan antara doktor wanita Melayu terawal di Malaysia dan kemudiannya membina kerjaya panjang dalam bidang perubatan, kesihatan awam serta kerja kemasyarakatan.

Iklan

Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura dan menamatkan pengajian pada 1955.

Selepas menyertai Kementerian Kesihatan, beliau berkhidmat sebagai pegawai perubatan di beberapa kawasan di seluruh negara, termasuk Kedah dengan sebahagian besar tugasnya tertumpu kepada kesihatan awam serta penjagaan kesihatan ibu dan kanak-kanak.

Iklan

Dr Hasmah berkahwin dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1956.

Pasangan itu dikurniakan empat anak kandung, Datin Paduka Marina, Tan Sri Mirzan, Tan Sri Mokhzani dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz, selain mempunyai tiga anak angkat iaitu Melinda, Mazhar dan Maizura.

Dr Hasmah yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada 12 Julai lalu, merupakan antara tokoh perubatan wanita terawal negara dan banyak menyumbang dalam bidang kesihatan awam, khususnya kesihatan ibu serta kanak-kanak.