Rohingya tiada lesen pandu BMW 525 disita JPJ

Iklan
BMW yang dipandu oleh Rohingya dirampas JPJ. Foto SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Bukan sahaja menunggang motosikal, warga asing termasuk Rohingya turut dikesan memandu kenderaan mewah seperti BMW 525 dan Toyota Land Cruiser bernilai RM780,000.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, dua kenderaan berkenaan disita menerusi Ops Luxury dalam penguatkuasaan terhadap penggunaan kenderaan mewah dengan Lesen Kenderaan Motor atau cukai jalan (LKM) tamat tempoh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, BMW 525 yang dipandu lelaki warga Rohingya berusia 36 tahun itu disita pada 19 September lalu di Jalan Pasir Hor.

“Kereta itu dibeli daripada warga tempatan dan pemilikannya tidak ditukar kerana warga Rohingya tidak boleh memiliki kenderaan, jadi kami sita BMW tersebut,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Iklan

Muhammad Kifli (kanan) menunjukkan BMW yang disita dan ditempatkan di Pejabat JPJ negeri Kelantan. Foto SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID

Menurut beliau, sehari selepas itu, JPJ menyita pula sebuah Toyota Land Cruiser yang dipandu lelaki warga Bangladesh berusia 51 tahun yang berstatus Pemastautin Tetap.

Iklan

“Kenderaan bernilai kira-kira RM780,000 itu disita pada 20 September lalu di Tunjong kerana LKM tamat tempoh dan tiada insurans.

“Dua kes ini pemandu dan pemilik tidak boleh membayar kompaun dan akan dibawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu sebahagian daripada penguatkuasaan JPJ terhadap penggunaan kenderaan mewah yang melakukan kesalahan di jalan raya.

Muhammad Kifli (dua dari kanan) melihat Land Cruiser yang disita kerana cukai jalan tamat tempoh. Foto SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID

Dalam perkembangan berasingan menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa), JPJ turut mengesan kegiatan segelintir rakyat Malaysia yang ‘bersekongkol’ dengan menyewakan motosikal kepada warga asing khususnya Roghinya demi keuntungan.

Muhammad Kifli berkata, berdasarkan risikan dan siasatan, sebuah motosikal disewakan dengan kadar antara RM50 hingga RM200 sebulan bergantung kepada keadaan motosikal dan kegunaan.

“Ada juga kes majikan tempatan yang menggajikan pemandu warga asing untuk memandu kenderaan perdagangan.

“Kalau rakyat Malaysia tidak menyewakan atau menggaji warga asing termasuk Rohingya ini, mereka tidak akan berada di atas jalan raya,” katanya.

Menurut beliau, dalam tempoh dua setengah tahun bermula 1 Januari 2024 hingga 15 September lalu, JPJ mengeluarkan 481,119 saman terhadap pemandu warga asing.

Kesalahan paling tinggi ialah tiada lesen memandu kompeten (CDL) iaitu 121,832 saman, diikuti LKM tamat tempoh 50,469 dan tiada insurans sebanyak 43,299.

Selebihnya 252,560 saman melibatkan pelbagai kesalahan lain.

“Rohingya paling ramai dikesan menunggang motosikal terutama jenis roda tiga untuk mengutip besi buruk diikuti Bangladesh, Indonesia, India dan Pakistan,” katanya.