RAUB - Seorang warga emas maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah jenis separuh kekal di Kampung Kuala Dong, Jalan Masuk Gesing di sini malam Ahad.
Mangsa berusia 80 tahun ditemui di ruang tamu rumah berkenaan selepas pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman dan pencarian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.56 malam.
“Terdapat seorang warga emas lelaki terperangkap di dalam rumah berkenaan,” katanya pada Isnin.
Beliau memaklumkan, pasukan bomba menjalankan tindakan pemadaman dan kawalan menggunakan satu aliran hos dengan satu cabang pembahagi serta dua nozel, menggunakan sumber air daripada tangki jentera.
“Bantuan relay pumping turut dilakukan menggunakan jentera FRT dari Balao Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Lipis.
"0perasi pemadaman menggunakan strategi defensif dan ofensif sebelum mangsa ditemui terperangkap di ruang tamu rumah berkenaan," ujarnya yang memaklumkan operasi tersebut tamat pada jam 2.13 pagi.