KOTA BHARU - Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan ketika cuba melarikan diri daripada serbuan yang membongkar kegiatan kemasukan migran di Kampung Lembah Sireh di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, lelaki berkenaan dipercayai antara PATI yang cuba meloloskan diri ketika pencarian semula dilakukan di kawasan sungai berkenaan.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil pencarian semula itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan, tiga lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga India.
Menurut beliau, berdasarkan soal siasat awal, lelaki tempatan yang ditahan mengaku berperanan sebagai tekong darat.
Ahmad Radzi memberitahu, kejadian itu berlaku susulan serbuan pasukan Strike Force Kompeni B, Strike Force Kompeni A, Cawangan Risik dan Task Force Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira jam 10.30 malam Isnin.
Tambahnya, serbuan dilakukan berkaitan aktiviti kemasukan migran di kawasan tepi Sungai Kelantan, Kampung Lembah Sireh di sini.
"Hasil serbuan awal, kita menahan seorang lelaki warga India, enam lelaki dan tiga wanita warga Indonesia.
"Pasukan turut merampas sebuah kereta Nissan Almera serta motosikal Honda Vario," katanya.
Ujar beliau, kesemua tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, pencarian semula dilakukan selepas pasukan percaya masih terdapat baki PATI berada di kawasan sekitar sungai berkenaan.