SHAH ALAM - Baru berusia lapan tahun, namun Aisya Azzahra Muhammad Amirul Izzat sudah berani melangkah keluar daripada zon selesa untuk mencabar diri di pentas antarabangsa.
Buat pertama kali menyertai pertandingan akademik di luar negara, murid Tahun Dua itu bukan sahaja berdepan peserta dari 34 negara, malah pulang dari Istanbul, Turkiye dengan gelaran juara dunia dan tempat pertama Gold Medalist bagi kategori 'Grade 2' pada International Joey of English Competition Global Finals 2026.
Bapanya, Muhammad Amirul Izzat Roszaki berkata, keberanian Aisya menyahut cabaran pada usia muda lebih bermakna daripada kejayaan membawa pulang pingat emas.
Katanya, pengalaman itu memberi peluang kepada Aisya untuk belajar mengurus cabaran, membina keyakinan dan memahami bahawa kegagalan bukan sesuatu yang perlu ditakuti.
"Kami sentiasa mengingatkan Aisya bahawa kita perlu berusaha sebaik mungkin, kemudian serahkan urusan rezeki dan hasilnya kepada ALLAH SWT.
"Kami mahu dia melihat pertandingan bukan sebagai satu tekanan, tetapi sebagai peluang untuk belajar, mencabar diri dan menimba pengalaman," katanya.
Menurut Muhammad Amirul Izzat, Aisya sebelum ini lebih banyak memberikan tumpuan kepada sukan catur dan merupakan pemain catur kebangsaan yang pernah mewakili Malaysia dalam beberapa kejohanan antarabangsa di Indonesia, Mongolia, China dan Singapura.
Bagaimanapun, katanya, apabila mendapat peluang menyertai pertandingan akademik di Istanbul, keluarga memberi ruang kepada Aisya untuk mencuba sesuatu di luar bidang yang biasa diceburinya.
"Kami sangat gembira dan bersyukur, malah terkejut apabila Aisya diumumkan sebagai juara dunia kerana ini merupakan kali pertama beliau menyertai pertandingan akademik di luar negara.
"Yang paling membanggakan apabila seorang anak kecil dari Malaysia mampu bersaing dengan peserta dari negara lain di pentas antarabangsa," katanya.
Untuk merealisasikan impian itu, keluarga Aisya turut berdepan cabaran kewangan, terutama selepas beliau baru pulang daripada Asian Youth Chess Championship 2026 di Shenzhen, China dan ASEAN+ Age Group Championship di Singapura.
"Bagaimanapun, sokongan dan sumbangan keluarga dan rakan-rakan bagi menampung perjalanan ke Istanbul menjadi antara kekuatan yang membantu Aisya merealisasikan peluang berkenaan," katanya.
Muhammad Amirul Izzat berharap kejayaan tersebut tidak menjadikan Aisya terlalu mengejar kemenangan, sebaliknya terus mencintai ilmu, berani mencuba, merendah diri dan menjadikan setiap pengalaman sebagai ruang untuk berkembang.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada anak-anak muda supaya tidak terlalu takut kepada kegagalan kerana setiap cabaran merupakan peluang untuk belajar dan menjadi lebih baik.