WASHINGTON – Jika manusia suatu hari nanti berjaya membina penempatan kekal di Marikh, kulat mungkin memainkan peranan penting untuk membantu mereka menghasilkan makanan di planet berkenaan.
Penyelidik dari Amerika Syarikat dan Brazil sedang mengkaji potensi kulat berfaedah untuk membantu mengubah regolit atau bahan permukaan Marikh yang miskin nutrien kepada medium yang lebih sesuai bagi pertumbuhan tanaman.
Kajian yang diterbitkan dalam Frontiers in Astronomy and Space Sciences itu meneliti bagaimana mikroorganisma tertentu boleh membantu tanaman mendapatkan nutrien serta bertahan dalam persekitaran yang ekstrem.
Menurut penyelidik, regolit di Marikh mempunyai kekurangan beberapa nutrien penting untuk pertumbuhan tanaman termasuk nitrogen, kalium dan fosforus.
Keadaan itu menyebabkan usaha menghasilkan makanan secara terus di Marikh menjadi cabaran besar, terutama bagi misi manusia yang memerlukan bekalan makanan dalam tempoh panjang.
Antara mikroorganisma yang diberi perhatian ialah arbuscular mycorrhizal fungi (AMF) iaitu kulat yang boleh hidup bersama akar tumbuhan.
Kulat berkenaan berpotensi bertindak seperti lanjutan kepada sistem akar dengan membantu tumbuhan mendapatkan nutrien dan meningkatkan keupayaan tanaman menghadapi tekanan persekitaran.
Penyelidik turut melihat potensi kulat seperti Trichoderma dan kumpulan AMF untuk membantu mengurangkan kesan persekitaran yang tidak sesuai serta memperbaiki keadaan medium tanaman, namun teknologi berkenaan masih memerlukan lebih banyak kajian sebelum boleh digunakan dalam sistem pertanian sebenar di Marikh.
Antara perkara yang perlu diuji adalah sejauh mana kulat berkenaan mampu berfungsi dalam regolit sebenar Marikh, berbanding bahan simulasi yang digunakan dalam eksperimen di bumi.
Dalam perkembangan berkaitan, NASA baru-baru ini turut menamatkan cabaran Mars to Table yang mencari sistem penghasilan makanan untuk misi manusia jangka panjang di bulan dan Marikh.
Cabaran itu menerima 113 penyertaan daripada pasukan di 33 negara sebelum lima pemenang dipilih dengan jumlah hadiah keseluruhan AS$650,000 (RM2.7 juta).
Konsep yang memenangi hadiah utama AS$300,000 (RM1.26 juta) menggabungkan pertanian dalam persekitaran terkawal, fermentasi dan penanaman kulat serta kitar semula nutrien bagi menghasilkan sebahagian makanan di luar bumi.
NASA menyatakan keperluan menghasilkan makanan secara lebih berdikari menjadi semakin penting kerana perjalanan sehala ke Marikh mengambil sekurang-kurangnya sembilan bulan.
Membawa keseluruhan bekalan makanan dari bumi juga tidak dianggap sebagai penyelesaian mampan bagi misi manusia yang berlangsung berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Justeru, walaupun idea menjadikan kulat sebagai 'petani' di Marikh masih jauh daripada realiti, penyelidikan berkenaan menunjukkan mikroorganisma kecil mungkin menjadi sebahagian daripada teknologi penting untuk memastikan manusia mampu menghasilkan makanan jauh dari bumi.