TEHERAN – Ketegangan di Selat Hormuz kembali meningkat selepas Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa sebuah kapal tangki yang membawa gas asli cecair (LNG) terkena periuk api laut sehingga mencetuskan letupan pada Jumaat.
Menurut laporan media kerajaan Iran yang dipetik Reuters semalam, kapal berkenaan dipercayai menggunakan laluan yang disifatkan Teheran sebagai tidak dibenarkan dan berbahaya ketika melalui laluan perkapalan strategik itu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Iran tidak mendedahkan identiti kapal, lokasi tepat kejadian mahupun maklumat mengenai keadaan anak kapal dan kemungkinan kerosakan yang dialami.
Dakwaan terbaharu itu menyusul laporan media Iran sehari sebelumnya mengenai empat kapal tangki minyak yang dikatakan terkena letupan selepas mengabaikan amaran dan memasuki kawasan yang dianggap sebagai zon larangan.
Insiden berulang itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan perkapalan antarabangsa, khususnya kerana Selat Hormuz merupakan laluan penting bagi perdagangan tenaga dunia.
Menurut data Washington Institute for Near East Policy yang dipetik Reuters, sekurang-kurangnya 10 kapal dilaporkan diserang dalam tempoh 10 hari pertama November, selepas 37 serangan direkodkan sepanjang Oktober.
Peningkatan insiden berlaku ketika trafik perkapalan mula menunjukkan pemulihan susulan jangkaan ketegangan perang antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran semakin reda.
Selat Hormuz menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman dan menjadi laluan utama penghantaran minyak serta gas dari negara pengeluar di Asia Barat ke pasaran antarabangsa.
Sebarang gangguan berpanjangan di laluan itu berpotensi meningkatkan kos pengangkutan, insurans perkapalan dan harga tenaga global.- Agensi