FENOMENA jerebu yang melanda Malaysia saban tahun tidak lagi boleh dianggap perkara biasa memandangkan kesannya bukan sedikit kepada rakyat di negara ini, sebaliknya memerlukan penyelesaian menyeluruh dan bersifat jangka panjang demi kesejahteraan bersama.
Setiap tahun, jerebu yang ‘singgah’ akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Sumatera serta Kalimantan, Indonesia bukan semakin berkurang, sebaliknya memburuk terutama tahun ini.
Fasa akhir Monsun Barat Daya sebahagian kawasan di Sarawak dan Semenanjung turut menyumbang kepada keadaan cuaca tidak sihat ini.
Malah, pada 4 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut memperkenankan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian, Sarawak susulan keadaan jerebu yang mencapai tahap pencemaran udara berbahaya kepada orang ramai.
Pengisytiharan darurat itu jelas memberi isyarat faktor penyumbang kepada jerebu perlu ditangani secara serius bagi memastikan rakyat dapat menjalani rutin harian seperti biasa.
Seiring jangkaan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip bahawa jerebu akan berlanjutan sehingga hujung September susulan fasa akhir monsun berkenaan, perkara ini wajar diberi perhatian serius.
Menurutnya, tiupan angin dari negara jiran ke negara ini dikenal pasti faktor utama memburukkan keadaan.
Setiap tahun, pemimpin Malaysia tidak lekang menggesa negara jiran menangani isu jerebu secara lebih serius, terutama memperketat pemantauan terhadap aktiviti pembakaran hutan yang menjadi antara punca fenomena berkenaan.
Malaysia juga konsisten menawarkan bantuan kepada negara jiran bagi menangani kebakaran hutan.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membincangkan isu jerebu dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ketika pertemuan di luar acara Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di New Delhi, India, baru-baru ini.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut membangkitkan isu sama ketika lawatan kerja ke Jakarta, Indonesia minggu lalu serta mengadakan pertemuan dengan pemimpin negara berkenaan.
Menurut Ahmad Zahid, negara jiran itu menerima tawaran Malaysia untuk membantu memadam kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu.
Katanya, Prabowo memberikan persetujuan terhadap tawaran Malaysia untuk membantu memadam kebakaran hutan di Kalimantan, susulan pengesanan lebih 1,400 titik panas di kawasan berkenaan.
Perkembangan ini membuktikan Malaysia sentiasa mencari jalan menangani isu, malah tahun ini dianggap antara yang paling teruk apabila masih terdapat kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Jerebu merupakan masalah yang memerlukan kerjasama erat antara Malaysia dan Indonesia, merangkumi aspek politik, saintifik serta teknikal.
Selain itu, Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan perlu dilaksanakan dengan komitmen lebih tegas, termasuk tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Rakyat berharap isu ini ditangani bukan sahaja pada kali ini, tetapi menerusi jaminan penyelesaian jangka panjang kerana tidak sanggup lagi berdepan dengan pelbagai kekangan akibat jerebu.
Bukan sahaja aktiviti harian terganggu, malah kesihatan rakyat turut menjadi taruhan. Hakikatnya, rakyat sudah lama mengimpikan udara segar tanpa dibelenggu jerebu. Rakyat juga rindu untuk membuka tingkap rumah tanpa rasa bimbang, membawa anak bermain di luar tanpa perlu terlebih dahulu memeriksa bacaan IPU.
Jerebu mungkin datang bermusim, tetapi usaha memastikan udara bersih tidak sepatutnya bermusim. Rakyat sudah lama menanti untuk kembali menghirup udara bersih Malaysia tanpa jerebu.
*Nurul Huda Husain ialah wartawan Sinar Harian