SKUAD negara perlu memiliki kekuatan mental untuk berdepan tekanan luar biasa penyokong Indonesia apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi kedua Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta pada Isnin.
Legenda bola sepak negara, Safee Sali berkata, pengalaman beraksi di hadapan penyokong fanatik Indonesia bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, justeru pemain perlu menikmati suasana berkenaan sambil kekal fokus terhadap taktikal dan sasaran pasukan.
“Bukan sahaja di stadium, saya rasa mereka perlu siapkan persiapan mental yang sangat kuat untuk menghadapi apa jua tekanan daripada penyokong di sana.
“Memang cabaran penyokong di sana sangat luar biasa dan bagi saya pemain-pemain kita perlu enjoy dengan suasana dan memfokuskan kepada kemenangan serta taktikal pasukan. Itu yang lebih utama,” katanya.
Beliau ditemui media sempena perasmian Kejohanan Bola Sepak Belia Bawah 16 Tahun (B-16) Piala Safee Sali yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari di Putrajaya pada Ahad.
Safee bukan asing dengan tekanan beraksi di GBK apabila beliau menjadi sebahagian daripada skuad negara yang menentang Indonesia pada final kedua Piala AFF 2010.
Ketika itu, skuad negara menggunakan kenderaan perisai Barracuda untuk ke stadium susulan kebimbangan keselamatan, sebelum Safee turut menjaringkan gol dalam kemenangan agregat 4-2 yang menyaksikan Harimau Malaya menjulang kejuaraan.
Safee menjelaskan bahawa kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh sebelum ini turut memberikan suntikan keyakinan kepada Harimau Malaya.
Menurutnya, dua pemain naturalisasi yang baharu bersama skuad negara juga menunjukkan keserasian baik, sekali gus memberi petanda positif menjelang pertemuan getir dengan Indonesia.
“Mereka bermain dengan sangat baik. Nampak keserasian di situ kerana mereka sudah bermain bersama di kelab masing-masing dan keserasian itu diteruskan dalam pasukan kebangsaan.
“Itu satu petanda yang bagus dan membuatkan saya rasa ada keyakinan lebih untuk kita mencapai sasaran ke final,” katanya.
Bagaimanapun, Safee mengingatkan skuad negara supaya tidak memandang rendah kemampuan Indonesia yang memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri selain dibarisi pemain berkualiti.
Katanya, kemenangan pada perlawanan pertama memberikan keyakinan kepada Harimau Malaya, namun perjalanan menuju sasaran perlu dilalui secara berperingkat dengan Indonesia menjadi cabaran seterusnya sebelum berdepan Singapura.