DUNIA bola sepak Perancis diselubungi duka susulan pemergian pemain muda, Wanis Honsor, 22 yang disahkan meninggal dunia selepas mengalami masalah jantung terhenti ketika menjalani sesi latihan bersama kelabnya, Saint-Denis FC.
Honsor dilaporkan rebah secara tiba-tiba di atas padang sebelum pasukan perubatan bergegas ke lokasi bagi memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) selama kira-kira 45 minit.
Bagaimanapun, segala ikhtiar untuk menyelamatkan nyawa pemain berkenaan tidak berjaya apabila dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemergian mengejut Honsor yang baru sahaja mendirikan rumah tangga nyata memberi tamparan hebat buat Saint-Denis FC, sebuah kelab yang beraksi dalam kancah Liga Perdana Reunion iaitu wilayah luar negara Perancis.
Menerusi satu kenyataan rasmi pada Rabu, pihak kelab menyifatkan insiden itu sebagai satu kehilangan besar yang amat mengejutkan seluruh warga pasukan.
"Kami merakamkan ucapan takziah serta bersedia menawarkan sokongan sepenuhnya kepada mereka yang terkesan dengan tragedi ini. Berehatlah dengan tenang, Wanis. Kamu akan sentiasa mekar dalam ingatan kami," jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Liga Bola Sepak Réunion turut meluahkan rasa simpati dan kepiluan mendalam atas kehilangan bakat muda yang sedang meningkat naik itu.
"Pada usia baru 22 tahun dan bakal menyambut hari lahir ke-23 tidak lama lagi selain baru memulakan fasa alam perkahwinan, anak muda ini sememangnya mempunyai masa depan yang cukup cerah.
"Berhadapan situasi tragis seperti ini, kata-kata tidak mampu menterjemahkan kesedihan yang dirasai oleh seluruh keluarga besar bola sepak Réunion ketika ini," menurut kenyataan badan induk itu.
Susulan insiden itu, pihak liga memberi jaminan akan menyalurkan bantuan sepenuhnya bagi urusan membawa pulang jenazah Honsor ke tanah besar Perancis mengikut permintaan keluarganya.
Pada masa sama, satu unit sokongan psikologi dan kesihatan mental turut digerakkan bagi membantu rakan sepasukan serta saksi yang mengalami trauma akibat menyaksikan kejadian berkenaan.