KECERDASAN buatan (AI) semakin mencetuskan kegusaran apabila kemajuan pesat teknologi itu dikhuatiri mampu berkembang melangkaui keupayaan manusia untuk memahami dan mengawalnya.
Kebimbangan itu turut disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI, Sam Altman dan rakan sejawatannya di Anthropic, Dario Amodei ketika memberi taklimat pada mesyuarat khas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), baru-baru ini.
Amodei memberi amaran bahawa AI berpotensi menjadi ancaman kepada manusia secara keseluruhannya jika dibangunkan atau gagal ditangani, manakala Altman memberitahu perkembangan teknologi itu mungkin berlaku terlalu pantas sehingga manusia tidak lagi berupaya untuk ‘campur tangan’.
Sebelum ini, beberapa tokoh dalam industri AI turut menyuarakan kemungkinan kecerdasan buatan berkembang ke tahap yang berpotensi menyebabkan kepupusan manusia dalam tempoh sedekad.
Ahli politik, organisasi media dan sejumlah selebriti kini mula mempersoalkan tentang bahaya teknologi itu selepas seorang bekas penyelidik di Anthropic, Jacob Coxon mendedahkan AI mengancam manusia sejagat.
Menurut anggaran seorang lagi staf Anthropic, Evan Hubinger, lebih 10 peratus kemungkinan AI menyebabkan kepupusan manusia dalam tempoh 10 tahun lagi.
Presiden Machine Intelligence Research Institute (MIRI), Nate Soares, yang juga penulis buku If Anyone Builds It, Everyone Dies: Why Superhuman AI Would Kill Us All berpendapat perkembangan AI ke tahap tertentu boleh melenyapkan umat manusia.
Perkara itu bukan sesuatu yang baharu apabila ahli matematik Britain, Alan Turing pada 1950-an pernah membangkitkan kemungkinan mesin pintar yang berjaya dibangunkan akhirnya berada di luar kawalan manusia.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat AI utama berlumba-lumba membangunkan sistem yang semakin canggih, bukan sahaja untuk meraih keuntungan malah dalam usaha mencapai ‘kecerdasan super’ iaitu teknologi yang secara teorinya mampu mengatasi tahap kecerdasan manusia.
Sistem kecerdasan super dijangka mampu mengendalikan tugasan yang jauh lebih kompleks berbeza dengan sistem dan peralatan AI sedia ada.
Antara risiko lain yang dibincangkan termasuk kemungkinan sistem AI berkeupayaan tinggi disalahgunakan bagi tujuan pengintipan dan melancarkan serangan siber atau perang biologi selain mengganggu kestabilan ekonomi.
Namun, ada pihak berpandangan bahawa amaran tersebut masih bersifat ramalan dan hipotetikal kerana tiada kepastian teknologi berkenaan akan berkembang ke tahap sedemikian.
Tetapi, tidak mustahil gambaran mesin pintar yang bangkit menentang manusia seperti dipaparkan dalam francais filem sains fiksyen, Terminator menjadi realiti sekiranya AI terus berkembang tanpa batas.