Isu New Age Movement: Jakim adakan sesi 'tabayyun' dengan Marhamah

Iklan
Jakim mengadakan sesi 'tabayyun' bersama Marhamah susulan dakwaan mengaitkan beliau dengan ajaran New Age Movement.

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan sesi pertemuan dan 'tabayyun' bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, susulan dakwaan mengaitkan beliau dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran New Age Movement (NAM).

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, sesi tersebut turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) Jakim dan pihak berkaitan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pertemuan itu diadakan bagi memastikan isu berkenaan diteliti berdasarkan disiplin akidah, autoriti agama dan latar pemikiran NAM.

"Penekanan turut diberikan agar sebarang kandungan atau pendekatan yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap akidah diperbetulkan dan dimurnikan. Pengisian berkaitan agama juga perlu sentiasa berasaskan disiplin ilmu Islam serta pandangan pihak berautoriti.

Iklan

"Perkara tersebut sememangnya telah diberi perhatian serius dan melalui proses siasatan menyeluruh bagi mendapatkan pandangan serta penelitian berdasarkan disiplin ilmu dengan penglibatan autoriti yang bersesuaian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Marhamah memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat dan ajaran NAM.

Iklan

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Marhamah menafikan segala tohmahan yang dibuat ke atasnya, selain menuntut pihak terbabit menarik balik penerbitan berkenaan, menghentikan penyebaran dan membuat permohonan maaf serta pembetulan secara terbuka dalam tempoh tersebut.

Sirajuddin berkata, pihaknya mengambil perhatian pertanyaan dan persoalan yang dibangkitkan oleh masyarakat, termasuk melalui halaman Facebook atas nama Masyitah Ashari, berhubung isu tersebut.

"Ini kerana Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jakim konsisten dan tegas dalam pendirian menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bertentangan dengan syarak serta prinsip akidah Islam.

"Dalam masa yang sama, masyarakat diharap tidak membuat kesimpulan berdasarkan bahan yang beredar tanpa pengesahan atau di luar konteks.

"Jakim akan terus melaksanakan amanah memelihara kesucian akidah umat Islam secara tegas, berhemah dan berasaskan ilmu serta autoriti agama," ujarnya.