NEW YORK - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran sekatan berlarutan Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz berisiko menyebabkan sekurang-kurangnya 45 juta penduduk terjerumus ke dalam krisis makanan.
Timbalan Setiausaha Agung dan Pengarah Pejabat Perkhidmatan Projek PBB (UNOPS), Jorge Moreira da Silva berkata, isu keselamatan makanan itu masih boleh dielakkan sekiranya pihak terlibat konflik mempercepatkan proses perdamaian.
"Krisis kemanusiaan itu juga dapat dihindari sekiranya lima hingga tujuh kapal yang membawa baja dibenarkan melalui laluan perairan penting itu setiap hari.
"Bagi negara-negara membangun, perkara ini akan menentukan sama ada mereka mempunyai jaminan keselamatan makanan atau terpaksa berdepan bencana kemanusiaan. Peperangan tidak sewajarnya menjadi alasan untuk menyekat laluan bantuan kemanusiaan," tegasnya.
Da Silva memaklumkan persiapan bagi memastikan penghantaran dapat diteruskan telah tersedia termasuk mekanisme pendaftaran kapal dan pemantauan kargo oleh PBB.
Menurutnya, usaha tersebut hanya dapat dilaksanakan sekiranya wujud 'kemahuan politik' daripada pihak berkaitan untuk membenarkan PBB menggalas peranannya.
Difahamkan, kira-kira satu pertiga perdagangan baja dunia melalui Selat Hormuz.
Dalam perkembangan berkaitan, Iran pada Ahad menegaskan ia tetap berpegang pada syaratnya untuk membuka semula Selat Hormuz meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menolak cadangan berkenaan yang sebelum ini mencetuskan harapan untuk merungkai kebuntuan konflik Asia Barat.
"Pendirian kami jelas dan sebarang langkah untuk membuka semula laluan maritim strategik itu bergantung kepada respons muktamad Washington. Teheran tidak pernah menutup ruang diplomasi atau rundingan, namun pada masa sama tidak akan berkompromi mengenai hak kami," ujar Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi. - Agensi