SPRM siasat isu kerugian UiTM Holdings

Iklan
Abd Halim sahkan SPRM menjalankan siasatan berkaitan beberapa isu melibatkan kerugian yang dialami oleh UiTM Holdings Sdn Bhd pada tahun 2023.

SHAH ALAM - Siasatan berkaitan beberapa isu melibatkan kerugian yang dialami oleh UiTM Holdings Sdn Bhd pada tahun 2023 sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Siasatan tersebut merangkumi pelbagai isu termasuk pembangunan projek solar 50MW di Gambang, Pahang, di mana sejumlah RM42 juta dilaporkan telah dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar tersebut serta dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah (BOD).

Iklan
Iklan

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

"SPRM akan berusaha menyiapkan siasatan dengan kadar segera secara bebas dan adil.

Iklan

"Ditegaskan bahawa siasatan ini masih berjalan memandangkan kompleksiti kes yang melibatkan aspek teknikal serta menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, selain itu, bagi melengkapkan lagi proses penyiasatan, SPRM juga akan meneliti sekiranya terdapat isu-isu lain yang relevan termasuk kelemahan tatakelola sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri.

Iklan

Jelasnya, SPRM menyambut baik keprihatinan serta ketegasan Perdana Menteri dalam usaha melihat dan menyelesaikan kelemahan yang menjadi faktor kerugian ke atas UiTM Holdings Sdn Bhd.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penelitian terhadap tadbir urus dan pengurusan UiTM Holdings Sdn Bhd susulan kebimbangan mengenai kerugian yang dialami syarikat berkenaan.

Anwar dilaporkan berkata, semakan itu perlu dilakukan dengan kerjasama Naib Canselor UiTM dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan memberikan sokongan sekiranya diperlukan.