BINTANG Mesir, Mohamed Salah tidak akan dibawa bersama skuad negaranya ke Sudan Selatan bagi aksi kedua kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) pada Selasa ini.
Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) memaklumkan keputusan itu dibuat bagi melindungi pemain berkenaan susulan perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung di atas permukaan padang tiruan.
Mesir sebelum itu sekadar terikat 0-0 dengan Angola dalam aksi pembukaan kelayakan di Stadium Antarabangsa Kaherah pada Jumaat.
Salah yang baru menyertai kelab Turkiye, Trabzonspor selepas meninggalkan Liverpool diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Angola.
Bagaimanapun, pemain berusia 34 tahun itu tidak menghabiskan perlawanan selepas dikeluarkan oleh pengendali Mesir, Hossam Hassan pada pertengahan babak kedua.
"Barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan Mesir yang diketuai Hossam Hassan memutuskan untuk merehatkan Mohamed Salah bagi perlawanan menentang Sudan Selatan pada 29 September kerana permukaan padang.
"Telah dipersetujui antara barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan dan Mohamed Salah sebelum perlawanan menentang Angola bahawa dia tidak akan beraksi menentang Sudan Selatan.
"Barisan kejurulatihan memilih pendekatan ini bagi melindungi pemain," kata EFA menerusi media sosial.
Pertembungan Sudan Selatan menentang Mesir itu akan berlangsung di Stadium Juba yang menggunakan permukaan padang tiruan.