Mek Yong cinta kebaya, budaya Melayu

Iklan
Mek Yong yang tetap mencintai kebaya walaupun sudah lagi tidak menjahit pakaian itu. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

TANAH MERAH – Puluhan tahun ‘bermain’ dengan jarum dan benang bagi menghasilkan kebaya sulam, seorang wanita Cina Peranakan Kelantan terus mengekalkan kecintaannya terhadap pakaian tradisional Melayu meskipun sudah enam tahun meninggalkan bidang jahitan.

Lebih mesra disapa Mek Yong atau nama sebenarnya Ang Chong Yong, 76, beliau bukan sahaja pernah menjadikan kemahiran menjahit kebaya sulam sebagai sumber rezeki, malah kebaya dan kain batik masih menjadi sebahagian daripada kehidupan hariannya.

Iklan
Iklan

“Dulu saya jahit kebaya sulam, sehari boleh siap sampai lapan pasang, bergantung kepada tempahan.

Mek Yong yang menjahit kebaya dan sulam satu ketika dulu. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Iklan

“Sekarang dah tak jahit tapi masih suka memakai kebaya, selesa dan cantik serta akan pakai di majlis-majlis keraian,” katanya kepada Sinar Ahad.

Dilahirkan di Pulau Raya di sini, Mek Yong kini menetap di bandar Tanah Merah bersama suaminya, Kuan Hok Hin, 86.

Iklan

Pengalaman menjahit yang bermula sekitar usia 20 tahun menjadikan kebaya antara pakaian paling dekat dengan dirinya selain kain batik yang turut dijahit sendiri.

“Bangga pakai hasil tangan sendiri tetapi dah tak ada waris sebab hanya ada dua anak lelaki yang memilih kerjaya masing-masing,” katanya.

Mek Yong yang selesa memakai kebaya pada majlis-majlis keramaian. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Menurut Mek Yong, menghasilkan kebaya sulam bukan kerja yang boleh dilakukan tergesa-gesa kerana setiap jahitan memerlukan kesabaran, ketelitian dan kemahiran yang diasah melalui pengalaman.

Katanya, proses menyulam juga memerlukan perhatian terhadap setiap corak dan susunan benang bagi memastikan hasilnya kemas dan cantik.

“Jahit sulam ini kena sabar, kena teliti. Tak boleh buat cincai kerana setiap bahagian perlu dijaga supaya hasilnya cantik,” katanya.

Di sebalik kenangan manis menghasilkan kebaya sulam, Mek Yong mengakui sedikit sedih apabila kemahiran itu tidak mempunyai waris untuk meneruskannya.

Mek Yong (enam dari kanan) yang bersama-sama dengan wanita dari peranakan Cina Kelantan. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Beliau berharap generasi muda menghargai warisan berkenaan dan mempelajari kemahiran menjahit kebaya sulam supaya seni tersebut terus dipelihara.

“Saya harap anak-anak muda sekarang hargai warisan yang ada. Belajarlah menjahit kebaya sulam supaya pakaian cantik ini tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Walaupun sudah meninggalkan bidang jahitan, minat Mek Yong terhadap budaya Melayu tidak pernah terhenti.

Menurutnya, kehidupan dalam masyarakat Kelantan yang dekat dengan budaya Melayu turut mempengaruhi bahasa, makanan dan aktiviti hariannya.

“Duduk dengan orang Melayu, jadi banyak benda bercampur. Mek Yong suka makan budu, gulai dan makanan Kelantan lain seperti nasi kerabu,” katanya.

Pemakaian kebaya juga diserikan dengan bunga hiasan yang diselitkan di telinga. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Selain boleh bertutur dalam bahasa Hokkien dan Mandarin, Mek Yong juga fasih menggunakan dialek Melayu Kelantan dalam pergaulan seharian.

Beliau turut menggemari lagu Melayu seperti Jong-Jong Inai dan Lenggang Kangkung, selain menjadikan tarian berasaskan lagu-lagu tersebut sebagai antara aktiviti senamannya.

“Setiap jam 6.30 pagi, Mek Yong pergi joging. Lepas itu suka juga menari lagu Melayu bersama-sama dengan kawan peranakan Cina yang lain,” katanya.

Rutin itu memperlihatkan sisi aktif Mek Yong yang masih mengekalkan minat terhadap budaya tempatan meskipun sudah memasuki usia emas.

Bagi Mek Yong, hubungan baik antara masyarakat berbilang kaum juga penting dalam kehidupan bermasyarakat.

“Kita mula merdeka bersama, Melayu, Cina dan India. Kenalah sentiasa bersikap baik sesama kita dan tak boleh kata buruk kepada orang walau lain bangsa,” katanya.