ROMPIN - Seorang pekerja kedai makan maut selepas tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Ativa dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 99 Jalan Kuantan-Segamat di sini awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, mangsa, Mohamad Saiful Saleh, 17, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondo berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dari arah Kuantan menghala ke Segamat bersama adiknya berusia 16 tahun.
Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan.
“Mangsa kemudian dilanggar sebuah Perodua Ativa yang dipandu seorang wanita berusia 25 tahun dari arah Segamat menghala ke Kuantan.
“Dalam masa sama, sebuah lagi motosikal yang bergerak dari arah sama dengan mangsa cuba mengelak sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kiri menghala ke Kuantan,” katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa, adiknya dan penunggang motosikal kedua mengalami kecederaan.
“Mangsa kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Muadzam Shah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira jam 6.18 pagi.
“Hasil pemeriksaan perubatan mendapati kematian mangsa berpunca daripada kecederaan akibat kemalangan yang menyebabkan berlaku pecah pada buah pinggang kiri dan limpa,” katanya.
Dalam pada itu, Sharif Shai berkata, adik mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), manakala penunggang motosikal kedua mengalami luka pada tangan.
Katanya, pembonceng motosikal kedua dan pemandu Perodua Ativa tidak mengalami kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.