KOTA BHARU - Penggantungan semua aktiviti Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tidak menjejaskan rundingan kerjasama gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rundingan dengan BN masih diteruskan dan perkembangan berkaitan RoS tidak mengubah pendirian PN terhadap agenda kerjasama politik berkenaan.
“Saya mengesahkan tidak jejaskan rundingan kerjasama seperti kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menekankan penyatuan ummah.
“Penyatuan Ummah ataupun penyatuan orang Melayu-Islam ini sudah diterima oleh semua majoriti rakyat Malaysia, termasuk kalangan bukan Melayu.
Sebelum ini, RoS mengeluarkan perintah penggantungan semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September lalu selepas mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada gabungan itu pada 22 September lalu.
RoS menjelaskan tindakan berkenaan susulan aduan Bersatu.
Takiyuddin berkata, kestabilan turut penting dari sudut ekonomi kerana keadaan politik yang stabil diperlukan bagi memastikan sektor ekonomi dapat berjalan dengan baik.
Mengulas mengenai tahap rundingan dengan BN ketika ini, beliau berkata, ia masih belum dimuktamadkan namun sudah melepasi separuh proses perbincangan.
“Belum diputuskan lagi tetapi rundingan sudah capai tahap lebih daripada 50 peratus,” katanya.
Beliau bagaimanapun menafikan laporan atau dakwaan bahawa PN sudah diberikan tujuh kerusi untuk ditandingi pada PRN Melaka.
“Itu belum putus lagi dan masih dalam perundingan. Tapi positif dan kami optimis dapat melaksanakan agenda penyatuan ummah di Melaka,” katanya.