KUALA LUMPUR - Sumbangan sebanyak RM30,000 hasil kutipan tabung kempen Sinar Di Hati: Sinar Untuk Jantung Si Kecil yang merupakan kolaborasi Sinar Harian dan Institut Jantung Negara (IJN) nyata melegakan hati keluarga pesakit jantung kanak-kanak, Ilyana Humaira Mohammad Idham, 3.
Ibunya, Haziyah Shukeri, 27, berkata, anak ketiganya itu disahkan mengalami masalah jantung berlubang sejak lahir.
Selepas melakukan pemeriksaan susulan di Pusat Jantung Sarawak, Haziyah dimaklumkan Ilyana Humaira turut menderita masalah saluran injap sempit pada jantungnya.
Menurut wanita berasal dari Santubong, Sarawak itu, Ilyana Humaira perlu mencapai berat sekurang-kurangnya 10 kilogram (kg) bagi membolehkannya menjalani prosedur pembedahan.
"Untuk pembedahan Tetralogy of Fallot (TOF), kanak-kanak perlu mencapai berat 10kg terlebih dahulu. Alhamdulillah sekarang anak saya dah capai 10kg, barulah boleh teruskan buat pembedahan. Saya datang dari Sarawak bersama anak pada 17 September lalu dan terus dimasukkan ke IJN.
"Memang lega bila dapat tarikh untuk operasi pembedahan, tapi dalam masa sama saya bimbangkan macam mana kos rawatan dan perbelanjaan.
"Tetapi, bila dapat tahu anak dapat bantuan derma, ia sangat meringankan beban lagipun saya ibu tunggal, baru bercerai dengan suami dan hanya bekerja sebagai kerani. Jadi, saya kena fikir sendiri macam mana nak cari duit," katanya kepada Sinar Harian.
Ibu tiga cahaya mata itu berkata demikian ketika ditemui pemberita di IJN di sini baru-baru ini.
Haziyah menambah, prosedur pembedahan jantung Ilyana Humaira menelan kos sekitar RM40,000 tetapi diberi pengurangan subsidi dari Unit Taksiran Khas Kementerian Kesihatan Malaysia (UTKKKM) sebanyak RM10,300.
"Saya difahamkan tidak perlu bayar apa-apa kerana baki RM30,000 sudah disumbangkan oleh tabung Sinar Di Hati: Sinar Untuk Jantung Si Kecil.
"Keluarga juga sangat menyokong, sentiasa bertanyakan keadaan Ilyana Humaira dan berikan kata-kata semangat. Bekas suami juga bantu jagakan dua lagi anak di Sarawak.
"Saya percaya Ilyana Humaira kuat untuk menjalani pembedahan tidak lama lagi, saya nak tengok dia aktif semula dan sihat sampai ke hari tua," luahnya.