SEREMBAN - Tiada lagi gambar 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (Exco) dipaparkan di portal rasmi Kerajaan Negeri Sembilan.
Sinar Harian mendapati, hanya gambar Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim terdapat di ruangan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri di portal terbabit.
Beliau memegang tiga portfolio iaitu Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan; Exco Kewangan, Tanah dan Sumber Asli serta Exco Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti, Komunikasi dan Felda.
Perkembangan itu berlaku selepas pembatalan pelantikan 10 Exco telah diwartakan pada Khamis.
Warta bertarikh 24 September tersebut menyatakan, pelantikan ahli-ahli Exco tersebut dibatalkan berkuat kuasa 20 September oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengikut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Exco tersebut ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Menurut warta itu, kesemua mereka telah mengangkat serta menandatangani sumpah dan ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos lepas sebelum mengambil tempat sebagai Exco Negeri Sembilan.
Warta itu juga memaklumkan berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Exco selain daripada Menteri Besar memegang jawatannya selama diperkenan oleh Tuanku Muhriz.
Pada 20 September, pihak Istana Negeri Sembilan mengumumkan bahawa Tuanku Muhriz telah membatalkan pelantikan semua Exco berkenaan, berkuat kuasa serta-merta.
Ismail sebelum itu dilaporkan berkata, kesemua Exco terbabit tidak dibenarkan memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri di sini sejak Rabu termasuk menjalankan tugas mereka.
Beliau mendakwa, arahan tersebut dimaklumkan oleh pihak berkuasa secara verbal dan tiada arahan bertulis dikeluarkan.