PUCHONG – Cabaran memastikan bekalan ikan negara mencukupi semakin kompleks apabila sumber tangkapan laut berdepan keterbatasan, selain peningkatan permintaan seiring dengan pertambahan penduduk.
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagaimanapun terus memperkukuh pendekatan pengeluaran domestik melalui akuakultur dan pembangunan kawasan pembiakan ikan bagi menjamin keterjaminan makanan negara.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, sektor perikanan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan laut kerana sumber semakin terhad dan kawasan pesisir turut berdepan tekanan pembangunan.
Justeru, LKIM mempergiat agenda Satu Persatuan, Satu Produk (1P1P) bagi menggalakkan persatuan nelayan menyertai kegiatan akuakultur serta memperkukuh kedudukan sosioekonomi mereka.
Menurutnya, hampir 13 persatuan nelayan di peringkat kawasan dan negeri sudah terlibat dalam bidang itu dengan sokongan latihan, kepakaran serta modal.
“Nelayan kalau kita hanya bergantung kepada tangkapan ikan sahaja, ia tidak cukup untuk mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena sambutan ulang tahun ke-55 LKIM di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarahnya, Abdul Salim Tajudin.
Selain akuakultur, pembinaan unjam dan tukun tiruan turut dilaksanakan bagi menambah kawasan pembiakan ikan serta membantu meningkatkan sumber bekalan.
LKIM juga menggalakkan persatuan nelayan menceburi kegiatan hiliran melalui pemprosesan hasil laut, termasuk ikan bilis, ikan kering, belacan dan keropok.
Ekosistem itu membolehkan persatuan nelayan bukan sahaja mengeluarkan hasil, malah memasarkan produk sendiri menerusi kedai runcit yang diwujudkan di beberapa lokasi.
Dalam perkembangan berkaitan, LKIM memperkukuh pengurusan subsidi bahan api nelayan menerusi aplikasi MyMinyak bagi memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada penerima yang layak.
Sistem pengesahan digital termasuk imbasan wajah itu turut mengurangkan risiko ketirisan dan memperkemas proses pembelian diesel serta petrol bersubsidi.
Usaha berkenaan membuahkan hasil apabila LKIM meraih Anugerah Platinum sempena Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026.
Faiz berkata, sambutan ulang tahun ke-55 LKIM menjadi tanda kematangan agensi dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan menghadapi perubahan industri perikanan.
“Usia 55 tahun mematangkan agensi untuk terus berdaya saing mendepani cabaran industri perikanan berteknologi,” katanya.
Beliau berkata, pendigitalan kini menjadi teras operasi LKIM bagi menjamin ketelusan pengurusan, memelihara kebajikan nelayan dan mempertahankan integriti amanah kerajaan.
Setakat ini, kadar sara diri ikan negara mencapai 90 peratus, dengan spesies tertentu yang tidak mencukupi ditampung melalui import terkawal.
LKIM akan terus memperkukuh peranan persatuan nelayan, pembangunan akuakultur dan inovasi digital bagi memastikan sektor perikanan kekal mampan serta menyumbang kepada ekonomi komuniti pesisir.