'Tohmahan MB, Exco turunkan takhta Tuanku Muhriz dirancang untuk kepentingan kumpulan tertentu'

Iklan
Mubarak membacakan kenyataan akhbar oleh Undang Yang Empat termasuk Undang dipertikai pada Jumaat.

SEREMBAN - Tohmahan pihak tertentu bahawa penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim serta barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) merupakan satu fitnah jahat.

Menerusi kenyataan akhbar oleh Undang Yang Empat termasuk Undang dipertikai yang dibacakan oleh Datuk Mubarak Dohak, mereka mendakwa, tohmahan berkenaan dirancang demi kepentingan peribadi kumpulan tertentu yang sebenarnya menjadi punca dan dalang kepada kemelut berpanjangan ini.

Iklan
Iklan

Tegas mereka, Menteri Besar dan Exco sama sekali tidak mempunyai kuasa itu sebaliknya hanya melaksanakan tugas perlembagaan bagj mematuhi ketetapan dibuat oleh Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959.

"Di samping itu bagi memelihara kedudukan kami sebagai Raja Pemerintah Negeri ini sebagaimana yang terrmaktub dalam Perkara 28 UUTKNS 1959.

Iklan

Hadir sama, Undang Johol, Dato Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah, Datuk Maarof Mat Rashad, dan Abdul Rahim Yassin.

Dari kiri: Muhammed, Mubarak, Maarof dan Abdul Rahim ketika sidang akhbar di Balai Undang Luak Sungei Ujong pada Jumaat.

Iklan

Mubarak berkata, mereka turut mengingatkan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan khususnya di bawah Perkara 10 dan Perkara 11 UUTKNS 1959.

Ujar mereka lagi, tindakan tersebut hanya akan menimbulkan huru-hara di dalam Negeri Sembilan sekali gus menyebabkan lumpuhnya pentadbiran eksekutif kerajaan negeri.

"Tindakan yang tidak berperlembagaan sebegitu jika diteruskan merupakan satu perlanggaran sumpah Perdana Menteri di bawah Jadual Keenam di samping pecah amanah terhadap Perkara 71 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan serta melanggari konsep federalisme.

"Janganlah semata-mata kerana laba dan pengaruh politik atau tunduk kepada tekanan pihak tertentu, Perdana Menteri sanggup melakukan apa sahaja tanpa menggunakan akal dan hati nurani malah tidak segan silu melanggarkan prinsip keluhuran Perlembagaan," kata mereka.

Selain itu, mereka menegaskan supaya semua pihak luar yang tiada kena-mengena dengan hal adat Melayu dan pemerintahan kerajaan negeri ini terutamanya parti politik pembangkang untuk tidak menaguk di air keruh dan memutarbelitkan fakta sehingga mengeluarkan komen jelek terhadap kerajaan negeri dan institusi Adat serta pemerintahan Negeri Sembilan.

Tambah mereka, tiada mana-mana parti politik yang mempunyai kuasa menurunkan mana-mana Raja dan kuasa itu diperuntukkan semata-mata kepada punca kuasa yang sah yang mana konteks di Negeri Sembilan ia adalah kuasa Undang Yang Empat.

"Kami ingatkan bahawa, adat yang telah diamalkan ini telah berlansung lebih daripada 5oo tahun, sudah tentulah kami selaku Pemerintah dan Ketua Adat lebih memahami apa yang berlaku," katanya.

Mereka turut mendakwa bahawa tindakan Tunku Muhriz Munawir mengarahkan pengumuman untuk memberhentikan barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan ialah salah, tidak berpelembagaan dan tiada kuat kuasa.

Dalam pada itu tegas mereka, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan perlu memberikan segala keistimewaan, pemakaian dan pemakanan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kepada Nadzaruddin Tuanku Ja'afar serta merta.

Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikaikan mendakwa, pengumuman berhubung penurunan Tuanku Muhriz telah pun dibuat oleh Menteri Besar dan Exco pada 16 September 2026.

"Malah pemakluman rasmi berhubung penurunan takhta Tunku Muhriz Tuanku Munawir dan pemilihan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 telah pun dibuat oleh Kerajaan Negeri Sembilan," menurut mereka.

Justeru ujar mereka, hanya Tunku Nadzaruddin yang mempunyai kuasa sah untuk menjalankan segala fungsi Yang di-Pertuan Besar menurut UUTKNS 1959, termasuk menghadiri segala persidangan Majlis Raja-Raja.

Berikutan itu kata mereka, pentadbiran kerajaan negeri hendaklah patuh dan taat dan tidak membuat sebarang tindakan derhaka.

"Pentadbiran kerajaan negeri juga hendaklah serta-merta memberikan segala keistimewaan, pemakaian dan pemakanan yang termaktub kepada Tunku Nadzaruddin," menurut mereka.

.